JOHOR BAHRU - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diminta meneliti semula kenyataannya berhubung peruntukan yang disalurkan terus kepada rakyat dan bukannya menerusi Parlimen.
Exco Pemuda Parti Amanah Malaysia (AMANAH) Nasional, Ahmad Fadhli Umar Aminolhuda berkata, ia penting bagi memastikan agenda reformasi tidak terjejas oleh percaturan politik dalaman.
“Cukuplah memberi peluru hidup kerana mana-mana pihak dan sebaliknya laksakanlah agenda Reformasi yang tertunggak berbekalkan baki masa yang tidak seberapa lama pun lagi,” katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.
Ahmad Fadhli Umar berkata, pihaknya memahami peruntukan sebegitu tidak diterima ahli parlimen pembangkang atas keengganan mereka menandatangani MoU bagi menstabilkan kerajaan.
“Tetapi, adakah peruntukan ahli parlimen kerajaan yang ditarik ini juga disebabkan asas yang sama iaitu terdapat usaha mereka menjatuhkan kerajaan?,” soalnya dalam kenyataan itu.
Kenyataan dikeluarkan Exco Pemuda AMANAH nasional selepas kecewa dengan lantikan Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin sebagai Penyelaras Parlimen Ampang yang berperanan untuk memastikan bantuan dan kebajikan kepada penduduk disampaikan secara tersusun, cekap dan berkesan.
Menurut beliau, perkara itu boleh menimbulkan persepsi bahawa peranan ahli Parlimen boleh diketepikan jika akses kepada peruntukan kawasan disekat dan diselaraskan menerusi pegawai dilantik.
Jelasnya, jika tujuan untuk memastikan bantuan disampaikan tersusun, akses sewajarnya dikembalikan kepada ahli Parlimen dengan mekanisme pemantauan yang jelas dan telus.
“Perkara ini juga selari dengan komitmen Pakatan Harapan dalam Tawaran HARAPAN PRU15 yang menjanjikan peruntukan kawasan secara sama rata kepada semua ahli Parlimen tanpa mengira parti.
“Laporan bahawa beberapa ahli Parlimen yang menyokong Kerajaan Perpaduan turut berhadapan masalah sama hanya menguatkan keperluan untuk penjelasan terbuka, terutama ketika perkembangan ini berlaku selepas pergolakan dalaman parti,” katanya.