KUALA LUMPUR: Dua suspek dipercayai warga asing maut dalam kejadian berbalas tembakan dengan polis ketika serbuan bagi menyelamatkan dua mangsa culik di Taman Amira, Telaga Bata, Alor Setar, pada Jumaat.
Kejadian berlaku kira-kira jam 8.40 malam, ketika sepasukan anggota Bahagian Siasatan Khas (D9), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman menjalankan operasi menyelamat mangsa di sebuah rumah di kawasan perumahan berkenaan.
Menurut Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk M. Kumar, suspek melepaskan beberapa das tembakan ke arah pasukan polis sebelum anggota serbuan membalas tembakan bagi mempertahankan diri sehingga ancaman keselamatan berakhir.
"Dua suspek yang dipercayai warga asing disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan kira-kira jam 9.30 malam.
"Tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui pada kedua-dua suspek," katanya dalam satu kenyataan, awal pagi Sabtu.
Beliau berkata, dalam operasi sama, polis berjaya menyelamatkan dua mangsa culik, masing-masing seorang lelaki warga asing berusia 70-an dan seorang wanita warga asing berusia 30-an.
"Kedua-dua mangsa ditemukan dalam keadaan mata tertutup dan tangan bergari ketika diselamatkan.
"Polis turut menemukan dua pucuk senjata api iaitu pistol separa automatik jenis Beretta yang mengandungi lima butir peluru dan sepucuk revolver dengan empat butir peluru, selain sebilah parang panjang berhampiran suspek," ujarnya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penculikan 1961, iaitu menculik untuk wang tebusan.
Susulan kejadian itu Kumar berkata, beberapa serbuan berasingan dijalankan polis di sekitar Kedah, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur.
"Operasi berkenaan membawa kepada penahanan enam individu, terdiri daripada seorang lelaki warga tempatan, empat lelaki warga asing dan seorang wanita warga asing berusia antara 20-an hingga 40-an.
"Permohonan reman terhadap kesemua suspek akan dibuat hari ini (Sabtu) di bawah Seksyen 12 Akta Penculikan 1961.
"Polis menegaskan siasatan masih dijalankan dan menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau komen yang boleh mengganggu proses siasatan atau memanipulasi fakta sehingga menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat," katanya. - Awani