'Perang robot' AS-China makin tegang

Iklan
Syarikat berpusat di Beijing menguasai 90 peratus penghantaran robot manusia global pada tahun lalu. Foto: AFP

BEIJING - Dominasi China dalam industri robot humanoid dunia berdepan cabaran selepas Amerika Syarikat (AS) menyekat akses eksportnya atas alasan mahu mengurangkan kebergantungan terhadap teknologi asing.

Namun, langkah itu sebenarnya mencerminkan kebimbangan Washington terhadap kemajuan pesat Beijing dalam sektor teknologi canggih.

Iklan
Iklan

Gelagat robot manusia hasil rekaan Unitree Robotics 'bertinju' semasa Persidangan Kecerdasan Buatan Sedunia (WAIC) di Shanghai pada bulan lalu. Foto: AFP

Pada bulan lalu, pentadbiran Donald Trump melarang kemasukan robot baharu daripada pengeluar asing selepas mendakwa teknologi itu kononnya membawa 'risiko besar' terhadap keselamatan negara.

Iklan

Sekatan baharu itu yang tidak melibatkan model robot yang sudah digunakan merupakan langkah terbaharu AS untuk memperkukuh dan melindungi industri domestik serta rantaian bekalan mereka ketika persaingan teknologi dan kecerdasan buatan (AI) dengan China semakin sengit.

Robot Xuanwuji keluaran Institut Penyelidikan Robot Universiti Zhejiang memainkan seruling di Sekolah Robot Hangzhou, di wiilayah Zhejiang. Foto: AFP

Iklan

Walaupun Beijing masih ketinggalan berbanding Washington dalam pembangunan model AI tercanggih, kemajuan pesat teknologi itu di negara Asia Timur tersebut sejak beberapa bulan lalu telah mencetuskan kebimbangan di Washington dan Silicon Valley.

Penganalisis bagaimanapun berpendapat Beijing semakin mendahului dalam pembangunan aplikasi AI untuk pengguna dan perkakasan pintar seperti robot, hasil sokongan industri pembuatan berskala besar serta keupayaan mengkomersialkan inovasi baharu.

Robot unik yang berkebolehan untuk menyediakan kopi. Foto: AFP

Suruhanjaya Komunikasi Persekutuan (FCC) bagaimanapun mendakwa peranti berkenaan boleh mewujudkan kelemahan dalam rantaian bekalan yang berpotensi mengganggu keselamatan ekonomi selain mencetuskan risiko keselamatan siber yang mengancam infrastruktur kritikal Amerika.

Keputusan itu dibuat berdasarkan penilaian keselamatan negara oleh sebuah badan antara agensi yang dibentuk oleh Rumah Putih. Badan itu memberi amaran robot yang mempunyai sambungan internet berpotensi menimbulkan risiko terhadap privasi data dan mewujudkan kelemahan dalam keselamatan siber.

Sebuah robot menunjukkan keupayaannya untuk menggunakan kamera Instax. Foto: AFP

Dokumen penilaian berkenaan mendakwa robot tersebut mengumpul data yang boleh dimanfaatkan pihak berniat jahat untuk mengawasi rakyat Amerika, meningkatkan keupayaan perkhidmatan risikan asing atau mengawal robot itu dari jauh.

Pegawai AS sebelum ini turut menggunakan alasan sama untuk menyekat penjualan kenderaan elektrik (EV) buatan China.

Seorang lelaki menjadi tumpuan apabila membawa anjing robot bersiar-siar di sekitar Beijing. Foto: AFP

Dalam tempoh singkat, industri robot manusia di Beijing muncul sebagai antara sektor strategik paling berpotensi dengan lebih 140 pengeluar dan bekalan yang semakin kukuh.

Pada tahun lalu, syarikat China menguasai 90 peratus penghantaran robot manusia global ketika pesaing seperti Tesla dan Figure AI masih berdepan cabaran untuk memulakan pengeluaran berskala besar.

Robot android mirip manusia, U1 keluaran UWORLD dilengkapi AI direka untuk menawarkan sokongan emosi kepada individu yang kesunyian. Foto AFP