Setiap parti ada pendirian, PN ikut perlembagaan gabungan - Hamzah

Iklan
Hamzah (tengah) ketika sidang media selepas EGM Wawasan di Petaling Jaya, pada Jumaat.

PETALING JAYA - Pemikiran atau keputusan sesebuah parti tidak boleh dianggap mewakili pendirian Perikatan Nasional (PN) kerana gabungan itu mempunyai perlembagaan serta mekanisme membuat keputusan yang tersendiri.

Presiden Parti Wawasan Negara (Wawasan), Datuk Seri Hamzah Zainudin menjelaskan, orang ramai perlu memahami bahawa PN ialah gabungan beberapa parti politik, manakala setiap parti dalam gabungan itu mempunyai perlembagaan masing-masing yang berbeza.

Iklan
Iklan

"Banyak jenis perlembagaan dari parti-parti lain, jadi pemikiran parti lain tidak diambil kira dalam gabungan kerana gabungan itu sendiri ada perlembagaan.

"Jadi kalau hari ini sebagai contoh, jika terdapat keperluan untuk meminda perlembagaan dalam PN, perkara itu boleh diputuskan melalui mesyuarat gabungan.

Iklan

"Namun bagi Wawasan, pindaan perlembagaan perlu dibuat melalui Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) yang melibatkan perwakilan. Jadi prosesnya berbeza dengan apa yang akan dilakukan," katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Agung Luar Biasa Wawasan di sini pada Jumaat.

Dalam perkembangan lain, Ahli Parlimen Larut itu memaklumkan, mesyuarat kali kni meluluskan pindaan perlembagaan parti yang sebelum ini dikenali sebagai Parti Cinta Malaysia (PCM).

Iklan

Menurutnya, pindaan itu antaranya memperkenalkan falsafah perjuangan baharu yang menjadikan parti sebagai wadah perjuangan rakyat Malaysia berteraskan Perlembagaan Persekutuan, Rukun Negara dan amalan demokrasi matang.

"Perlembagaan baharu itu mengandungi 30 fasal dan semua pindaan yang dicadangkan telah diluluskan dalam mesyuarat berkenaan.

"Selain itu penubuhan Majlis Penasihat Parti yang akan dipengerusikan Tan Sri Rais Yatim akan terus memainkan peranan sebagai penasihat bersama beberapa tokoh lain yang akan dilantik," jelasnya.