SHAH ALAM - Kerjasama politik antara parti yang membentuk jajaran baharu boleh diumpamakan seperti sebuah perkahwinan yang mempunyai tempoh tertentu sebelum berakhir.
Naib Presiden Parti Keadaan Rakyat (PKR), Datuk Seri Amirudin Shari berkata, politik ketika ini sangat dinamik dan mencabar apabila wujud keadaan parti yang bekerjasama dalam pentadbiran, namun kembali bersaing apabila tiba musim pilihan raya.
Bagaimanapun katanya, keadaan itu memerlukan kematangan politik dalam memastikan kestabilan terus dipelihara selain mengutamakan kepentingan rakyat.
"Sama ada kita makin matang dalam berpolitik ataupun kita sedang membentuk satu kegilaan baharu politik, itu masalahnya," katanya ketika ditemui selepas pembentangan Rancangan Selangor Kedua (RS-2) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini pada Jumaat.
Dalam perkembangan berkaitan, Amirudin yang juga Menteri Besar Selangor berkata, pihaknya memberi ruang kepada Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar untuk berehat dan membuat pertimbangan terbaik susulan keputusan beliau bercuti daripada tugas tertentu.
Beliau berkata, keputusan itu tidak melibatkan peletakan jawatan, sebaliknya Nurul Izzah masih memegang jawatan sebagai Timbalan Presiden PKR.
"Semalam parti memutuskan supaya beliau berehat sekejap, ambil langkah yang sepatutnya.
"Tugas beliau akan ditanggung atau dilaksanakan oleh Datuk Seri Saifuddin Nasution (Ismail), manakala pula akan lebih fokus pada pilihan raya.
"Sebelum ini saya dengan Saifuddin bertugas sebagai pengarah pilihan raya, itu sahaja struktur yang berubah," katanya.
Amirudin berkata, pihaknya memberi ruang secukupnya kepada Nurul Izzah untuk berfikir dan mengambil keputusan terbaik untuk parti serta dirinya.
"Beliau masih lagi Timbalan Presiden, tetapi tugasnya ditanggung atau dilaksanakan oleh beberapa pihak. Kita harap ada ruang masa yang secukupnya untuk beliau berfikir," tambah beliau.