Farm Fresh terajui projek tenusu Kemboja

Iklan
Pengarah Urusan Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Farm Fresh Berhad, Loi Tuan Ee (kanan) dan Gabenor Wilayah Pursat, Khoy Rida (kiri) ketika meraikan majlis menandatangani memorandum persefahaman bagi projek Farm Fresh Pursat.

PHNOM PENH – Farm Fresh Group Berhad terus mengorak langkah memperkukuh kedudukannya di rantau Asia Tenggara apabila menerajui pembangunan projek ladang tenusu berskala besar pertama di Kemboja menerusi pelaburan bernilai AS$68 juta (kira-kira RM290 juta) di wilayah Pursat.

Projek yang dikenali sebagai Farm Fresh Pursat itu dijangka menjadi pemangkin kepada pembangunan industri tenusu negara berkenaan menerusi pengeluaran dan pemprosesan susu segar tempatan, sekali gus membantu mengurangkan kebergantungan terhadap import bagi memenuhi permintaan pengguna yang semakin meningkat.

Iklan
Iklan

Perjanjian pajakan tanah bagi projek pelaburan tersebut dimeterai pada 5 Ogos lalu, susulan memorandum persefahaman yang ditandatangani pada Oktober tahun lalu bagi merealisasikan pembinaan fasiliti pengeluaran dan pemprosesan susu segar berskala besar pertama di negara berkenaan.

Perkukuh bekalan susu segar tempatan

Iklan

Projek yang akan dibangunkan di daerah Veal Veng, Pursat itu meliputi kawasan seluas kira-kira 1,000 hektar dan memberi tumpuan kepada pembangunan ladang tenusu bertaraf antarabangsa serta pembinaan kilang pemprosesan susu tempatan.

Inisiatif tersebut dijangka memperkukuh rantaian pengeluaran tenusu Kemboja, mengurangkan kebergantungan kepada import serta meningkatkan kapasiti negara untuk memenuhi permintaan pasaran domestik dan pada masa sama membuka peluang ke pasaran eksport pada masa hadapan.

Iklan

Lonjak ekonomi wilayah Pursat

Gabenor Wilayah Pursat, Khoy Rida berkata, pelaburan berskala besar itu bakal mewujudkan ladang tenusu terbesar di Kemboja, sekali gus membuka banyak peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.

Menurut beliau, projek berkenaan bukan sahaja menjadi pencapaian penting bagi wilayah Pursat, malah turut menandakan detik bersejarah dalam pembangunan industri tenusu negara itu.

Farm Fresh optimis terhadap potensi Kemboja

Pengarah Urusan Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Farm Fresh Berhad, Loi Tuan Ee berkata, syarikat itu berbesar hati untuk melabur di wilayah Pursat dan menghargai pelbagai insentif serta sokongan yang diberikan oleh kerajaan Kemboja.

LOI TUAN EE

Beliau berkata, sebagai antara syarikat tenusu terkemuka di Asia Tenggara, pelaburan tersebut bukan sahaja akan memperkukuh industri tenusu tempatan, malah mampu meningkatkan profil wilayah Pursat di peringkat serantau dan global.

Respons kepada krisis bekalan susu

Pembangunan projek Farm Fresh Pursat turut dilihat sebagai langkah strategik selepas konflik sempadan antara Kemboja dan Thailand tahun lalu menjejaskan bekalan susu negara itu.

Thailand sebelum ini membekalkan lebih 76 peratus daripada jumlah import produk tenusu Kemboja. Bagaimanapun, krisis berkenaan menyebabkan rak pasar raya kehabisan bekalan susu segar, manakala kedai kopi dan restoran turut berdepan kesukaran mendapatkan bekalan.

Situasi tersebut mempercepatkan usaha Kemboja untuk memperluaskan pengeluaran susu segar tempatan bagi memastikan bekalan makanan lebih mampan pada masa hadapan.