KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menegaskan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang tidak mempunyai hak atau kuasa veto untuk menentukan kedudukan parti itu dalam Perikatan Nasional (PN).
Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, dakwaan bahawa keahlian Bersatu dalam PN telah tergugur secara automatik adalah tidak berasas dan menunjukkan Abdul Hadi tidak memahami Perlembagaan PN.
Beliau menyifatkan kenyataan Ahli Parlimen Marang itu sebagai semberono kerana keputusan berkaitan keanggotaan mana-mana parti dalam gabungan tersebut hanya boleh dibuat oleh Majlis Presiden PN.
"Abdul Hadi tidak mempunyai apa-apa hak atau kuasa veto untuk menentukan kedudukan Bersatu dalam PN.
"Kenyataan semberono menunjukkan bahawa beliau tidak mempunyai pengetahuan asas mengenai Perlembagaan PN," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Mohamed Azmin berkata, kedudukan Bersatu sebagai parti anggota PN hanya boleh dimuktamadkan oleh Majlis Presiden mengikut Fasal 7A Perlembagaan PN dan bukannya diputuskan oleh mana-mana individu.
"Sehingga kini, Majlis Presiden tidak pernah bersidang untuk menentukan keanggotaan Bersatu dalam PN. Justeru, Bersatu masih parti anggota PN yang sah," ujarnya.
Terdahulu, Abdul Hadi memaklumkan kedudukan Bersatu sebagai ahli PN tergugur dengan sendiri apabila Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan membentuk gabungan baharu.
Situasi itu dakwanya berdasarkan Perlembagaan PN yang mana apabila ahlinya menyertai gabungan lain, maka ia terkeluar daripada PN.
Mohamed Azmin berkata, setiap parti anggota PN mempunyai hak-hak yang termaktub di bawah Fasal 7 Perlembagaan.
Jelas beliau, Fasal 7.1 memperuntukkan setiap parti anggota mempunyai hak sepenuhnya untuk menghadiri, memberi pendapat dan mengundi di dalam mesyuarat Majlis Tertinggi, Badan Perhubungan Negeri dan Badan Perhubungan Kawasan masing-masing.
"Tindakan Pengerusi dan Setiausaha Agung PN menghalang wakil Bersatu menghadiri mesyuarat Majlis Tertinggi pada 16 Julai lalu yang membuat keputusan mengenai pengagihan kerusi dan kerjasama dengan Barisan Nasional dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan baru-baru ini adalah bercanggah dengan Perlembagaan," ujarnya.
Justeru katanya, Bersatu akan membuat aduan rasmi kepada Jabatan Pendaftar Pertubuhan Malaysia berhubung pelanggaran perlembagaan yang serius itu.
"PN yang dikuasai oleh Pas tidak lagi menjunjung Perlembagaan, mengenepikan prinsip tadbir urus yang baik, bertindak secara semberono dan tidak demokratik.
"Bersatu bertegas akan bertindak mengikut lunas undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan serta akan sentiasa mempertahankan prinsip keadilan dan kesederhanaan dalam menjamin masa depan Malaysia yang bermaruah dan makmur untuk semua rakyat," katanya.
Bulan lalu, Muhyiddin dilapor memaklumkan Bersatu akan membentuk gabungan baharu yang lebih hebat bersama beberapa parti lain selepas PRN Negeri Sembilan.
Jelas Ahli Parlimen Pagoh itu, gabungan baharu berkenaan antara lain turut membabitkan parti dalam Ikatan Prihatin Rakyat (IPR) antaranya Putra dan Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (URIMAI).