BANGKOK - Tujuh individu, termasuk tiga guru dan tiga pelajar, maut manakala sekurang-kurangnya 15 lagi cedera selepas seorang pelajar melepaskan tembakan di sebuah sekolah di wilayah Nonthaburi, barat laut Bangkok, pada Jumaat pagi.
Insiden tembakan itu berlaku di Sekolah Debsirin Nonthaburi di daerah Bang Kruai kira-kira 10 pagi, dengan suspek dikenal pasti sebagai pelajar sekolah berkenaan.
Timbalan Ketua Polis Diraja Thailand dan jurucakap, Leftenan Jeneral Trairong Piwpan berkata tujuh orang terkorban -- tiga guru, tiga pelajar dan suspek, meninggal dunia di tempat kejadian.
"Seramai 15 mangsa yang cedera dibawa ke hospital, termasuk dua yang berada dalam keadaan parah," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian pada Jumaat.
Trairong berkata siasatan awal menemukan sepucuk pistol 9 milimeter dan 34 butir peluru di luar kelopak peluru.
"Siasatan polis mendapati pistol itu milik datuk suspek," katanya.
Beliau berkata, guru dan pelajar telah dipindahkan ke Sekolah Chanrat Wittaya yang berhampiran, manakala ibu bapa dan penjaga diminta mengambil anak masing-masing.
Ketua Polis Negara turut mengarahkan Hospital Besar Polis menghantar segera pakar psikologi bagi memberikan rawatan dan sokongan kepada mereka yang terjejas akibat insiden itu.
Sementara itu, Perdana Menteri Anutin Charnvirakul, yang juga Menteri Dalam Negeri, melahirkan rasa dukacita terhadap kejadian itu dan mengarahkan pihak berkuasa memberikan bantuan segera kepada mangsa yang cedera serta mengerahkan pegawai berkaitan ke lokasi kejadian.
"Apa yang berlaku amat mengerikan," katanya sambil menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa.
Anutin turut mengaitkan insiden itu dengan keputusan kerajaan untuk tidak memperbaharui permit membawa dan memiliki senjata api.
"Inilah sebabnya kerajaan tidak membenarkan permit membawa dan memiliki senjata api diperbaharui," katanya.
Insiden itu berlaku kurang enam bulan selepas satu lagi kejadian tembakan di sekolah di Thailand.
Pada Februari lalu, seorang lelaki berusia 18 tahun melepaskan tembakan di sebuah sekolah di Hat Yai, Songkhla, menyebabkan pengetua sekolah terbunuh dan beberapa individu lain cedera sebelum suspek ditahan. - Bernama