Wakil MCA kembali sertai Exco Negeri Sembilan selepas lebih sedekad

Iklan
Kong Choon dilantik sebagai Exco Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Hal Ehwal Bukan Islam.

KUALA PILAH - Selepas lebih 10 tahun tidak mempunyai wakil dalam barisan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Negeri Sembilan, MCA kembali mencatat sejarah apabila wakil parti itu dilantik menganggotai pentadbiran negeri.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chennah, Siow Kong Choon dilantik sebagai Exco Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Hal Ehwal Bukan Islam selepas memenangi kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan baru-baru ini.

Iklan
Iklan

Kong Choon yang ditemui selepas Majlis Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Exco di Istana Besar Seri Menanti di sini, menzahirkan penghargaan kepada Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim atas kepercayaan yang diberikan kepadanya.

"Ini merupakan satu amanat dan juga tanggungjawab besar untuk saya kerana hanya saya seorang wakil daripada kaum Cina.

Iklan

"Tetapi bagi saya, kalau kita melihat kembali manifesto Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya ini, ia merangkumi semua kaum dan semua lapisan masyarakat.

"Jadi saya yakin bersama rakan-rakan Exco yang lain di bawah bimbingan Yang Amat Berhormat Menteri Besar, sudah tentunya kita akan berusaha untuk menunaikan apa yang telah kita janjikan dalam manifesto Barisan Nasional," katanya.

Iklan

Kong Choon sebelum ini merupakan Ketua Pemuda MCA Bahagian Jelebu dan Ketua Pemuda MCA Negeri Sembilan.

Beliau berkata, walaupun tidak pernah menjadi wakil rakyat, pengalamannya membantu jentera BN di Bahagian Jelebu, banyak membantunya memahami keperluan masyarakat.

"Walaupun saya tidak pernah menjadi wakil rakyat, saya merupakan sebahagian daripada jentera BN di Bahagian Jelebu, khususnya di bawah Ahli Parlimen, Datuk Seri Jalaluddin Alias.

"Saya membantu beliau menguruskan hal berkaitan masyarakat Cina di kawasan itu dan pengalaman itulah yang akan membantu saya memikul amanah kali ini," katanya.

Selain Kong Choon, seorang lagi wakil MCA yang memenangi PRN Negeri Sembilan lalu ialah ADUN Repah, Koh Kim Swee.

Untuk rekod, kali terakhir wakil MCA menduduki Exco Negeri Sembilan ialah pada penggal 2008 hingga 2013.