Fahami AFA supaya lebih bersedia urus bil elektrik

Iklan

PUTRAJAYA – Perubahan pada bil elektrik mudah mencetuskan kebimbangan pengguna, lebih-lebih lagi apabila peningkatan jumlah yang perlu dibayar terus dikaitkan dengan tanggapan bahawa tarif elektrik telah dinaikkan.

Iklan
Iklan

Kekeliruan yang timbul dalam perbincangan awam termasuk di media sosial menunjukkan masih terdapat pengguna yang belum memahami sepenuhnya fungsi Automatic Fuel Adjustment (AFA), termasuk perbezaannya dengan tarif asas serta bagaimana mekanisme itu boleh mempengaruhi jumlah bil elektrik bulanan.

Hakikatnya, bil elektrik bukan sekadar ditentukan oleh jumlah tenaga yang digunakan, sebaliknya turut berkait dengan kos sebenar untuk menjana dan membekalkan elektrik dalam persekitaran pasaran tenaga yang sentiasa berubah.

Iklan

Sebahagian daripada kos penjanaan itu pula dipengaruhi faktor di luar kawalan pengguna termasuk perubahan harga bahan api dan kadar pertukaran mata wang asing, selain perkembangan geopolitik, gangguan bekalan serta perubahan permintaan tenaga global.

Dalam keadaan itu, AFA yang dilaksanakan mulai Julai 2025 bagi menggantikan mekanisme Imbalance Cost Pass-Through (ICPT) berperanan melaraskan komponen kos penjanaan bagi mencerminkan perubahan kos sebenar berbanding unjuran.

Iklan

Mekanisme itu juga tidak semestinya membawa kepada caj tambahan kerana pelarasan boleh menghasilkan rebat apabila kos berkaitan penjanaan lebih rendah atau surcaj apabila kos meningkat, bergantung kepada keadaan semasa.

Justeru, AFA tidak seharusnya difahami secara mudah sebagai satu lagi kenaikan tarif elektrik, sebaliknya kefahaman mengenai fungsi mekanisme itu penting supaya pengguna dapat membezakan antara tarif asas, penggunaan sebenar dan pelarasan kos penjanaan.

Sebagai syarikat utiliti yang berhubung secara terus dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) harus lebih bertanggungjawab, telus dalam memberikan khidmat mereka kepada rakyat.

Namun, masih terdapat persepsi dan persoalan dalam kalangan pengguna mengenai struktur bil, perubahan kadar serta ketelusan maklumat berkaitan kos penjanaan elektrik.

Kerajaan pula terus memainkan peranan melalui dasar, kawal selia dan langkah perlindungan bersasar bagi memastikan keseimbangan antara kemampanan industri tenaga dengan kepentingan pengguna.

Menurut Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan, kekeliruan mengenai AFA perlu diperbetulkan supaya pengguna tidak terus menganggap setiap perubahan pada bil elektrik sebagai kenaikan tarif.

Menurutnya, perkara paling asas yang perlu difahami ialah AFA bukan tarif elektrik baharu, sebaliknya mekanisme yang mencerminkan perubahan sebenar kos penjanaan elektrik dan boleh menghasilkan rebat atau surcaj bergantung kepada keadaan pasaran tenaga semasa.

“Dengan mengetahui kadar AFA lebih awal, pengguna mempunyai masa untuk merancang penggunaan elektrik dan bajet bulanan.

“Sebagai pengguna, kita juga dituntut mendapatkan maklumat yang sahih sebelum membuat kesimpulan kerana Islam mengajar kita supaya melakukan tabayyun,” katanya kepada Sinar Harian.

Mengulas lanjut, Nadzim menjelaskan, kos penjanaan elektrik tidak dapat dipisahkan daripada turun naik harga tenaga dunia yang dipengaruhi pelbagai faktor termasuk konflik geopolitik, permintaan tenaga dan gangguan bekalan bahan api.

Malah katanya, Malaysia turut menggunakan sumber bahan api yang dipengaruhi pasaran global, menyebabkan perubahan harga dan keadaan pasaran antarabangsa turut memberi kesan kepada kos penjanaan elektrik negara.

"Seperti komoditi tenaga lain, kos bahan api bagi penjanaan elektrik turut dipengaruhi keadaan pasaran dan rantaian bekalan global.”

“Apabila harga gas asli atau arang batu meningkat di pasaran dunia, kos menjana elektrik turut meningkat, manakala nilai tukaran ringgit berbanding mata wang asing turut mempengaruhi kos pembelian bahan api,” jelasnya.

Beliau berkata, pengguna perlu melihat perkara itu secara menyeluruh kerana perubahan kos berkenaan merupakan sebahagian daripada realiti pasaran tenaga global.

Dalam konteks itu, Nadzim berharap pengguna tidak lagi keliru antara rebat, surcaj dan AFA kerana setiap satunya perlu difahami dalam konteks bagaimana perubahan kos penjanaan diterjemahkan kepada bil pengguna.

“Apabila kos bahan api menurun, pengguna boleh menikmati rebat, manakala surcaj mungkin dikenakan apabila kos meningkat.

“Penjelasan yang jelas dan berasaskan fakta penting supaya pengguna dapat memahami kesan AFA terhadap bil masing-masing,” ujarnya.

Menurut Nadzim, kekeliruan mudah berlaku apabila pengguna hanya melihat perubahan pada jumlah akhir bil tanpa memahami komponen yang mempengaruhinya.

Keadaan itu boleh menyebabkan pengurangan rebat atau perubahan kadar AFA dianggap sebagai kenaikan tarif, sedangkan jumlah bil elektrik turut dipengaruhi oleh corak dan jumlah penggunaan tenaga.

Sehubungan itu, beliau berpandangan kefahaman mengenai struktur bil perlu dipertingkatkan supaya pengguna dapat membuat perbandingan berdasarkan penggunaan sebenar dan komponen caj yang dikenakan, bukannya semata-mata berdasarkan jumlah akhir bil.

Nadzim menjelaskan bahawa AFA merupakan mekanisme pelarasan kos penjanaan elektrik. Namun, kesannya kepada pengguna boleh dikurangkan melalui langkah perlindungan kerajaan, termasuk penyerapan sebahagian kos melalui dana Kumpulan Wang Industri Elektrik (KWIE), supaya keseluruhan peningkatan kos tidak dipindahkan kepada pengguna.

“Kedua-duanya mempunyai fungsi berbeza tetapi saling melengkapi. Yang penting ialah pengguna memahami bagaimana bil elektrik dikira supaya mereka dapat merancang kewangan dengan lebih baik,” katanya.

Pada masa sama, beliau mengakui kerajaan turut melaksanakan beberapa langkah bagi mengurangkan tekanan yang ditanggung pengguna, termasuk melindungi pengguna domestik dengan penggunaan sehingga 600 kilowatt-jam (kWj) sebulan daripada kesan pelarasan AFA. Pengguna domestik yang menggunakan elektrik sehingga 1,000 kWj sebulan pula masih berpeluang menikmati Insentif Cekap Tenaga, sekali gus menggalakkan penggunaan elektrik secara lebih cekap dan berhemah.

“Langkah perlindungan ini memberi ruang kepada rakyat menghadapi ketidaktentuan pasaran tenaga global dengan lebih tenang.

“Pada masa sama, ketelusan maklumat perlu terus diperkukuhkan supaya pengguna memahami rasional setiap pelaksanaan,” katanya.

Bagi PPIM, pengguna juga mempunyai peranan penting dalam mengawal bil elektrik melalui amalan penggunaan tenaga secara cekap dan membuat perancangan berdasarkan corak penggunaan masing-masing.

Justeru, orang ramai disaran memantau penggunaan elektrik menerusi aplikasi atau portal myTNB, menggunakan fungsi Energy Budget, memanfaatkan skim Time-of-Use (ToU) mengikut kesesuaian, memilih peralatan elektrik cekap tenaga serta mempertimbangkan penggunaan tenaga solar.

Langkah itu bukan sahaja dapat membantu pengguna memahami corak penggunaan elektrik, malah membolehkan mereka mengambil tindakan lebih awal sekiranya penggunaan menghampiri atau melebihi bajet yang ditetapkan.

“Islam mengajar kita mengamalkan wasatiyyah atau bersederhana dan mengelakkan israf. Berjimat tenaga ialah sebahagian daripada amanah mengurus nikmat yang dikurniakan ALLAH SWT.

“Hak pengguna ialah mendapat maklumat yang jelas, manakala tanggungjawab pengguna pula ialah menggunakannya dengan bijaksana,” katanya.