[VIDEO] Ismail Sabri dijangka jalani prosedur pemasangan perentak jantung hari ini - Peguam

Iklan

KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dijangka menjalani prosedur pemasangan perentak jantung (pacemaker) di Institut Jantung Negara (IJN) pada Jumaat.

Amer Hamzah bersama rakan peguam yang mewakili Ismail Sabri di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. FOTO: SINAR HARIAN/ROSLI TALIB

Iklan
Iklan

Peguam, Datuk Amer Hamzah Arshad berkata, dengan perkembangan itu, adalah tidak praktikal untuk pihak pendakwaan membacakan pertuduhan di IJN memandangkan keadaan kesihatan Ahli Parlimen Bera itu.

Menurutnya, rawatan segera itu diberikan selepas Ismail Sabri mengalami masalah kesihatan pada Khamis.

Iklan

"Semalam, beliau berada di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dari jam 9 pagi hingga 6 petang.

Beliau terpaksa digegaskan ke IJN dan doktor yang merawat mengesahkan anak guam mempunyai masalah kesihatan.

Iklan

“Mesin ‘Holter’ yang dipasang juga mengesan terdapat masalah pada jantung yang memerlukan siasatan serta rawatan lanjut," katanya.

Terdahulu, kes pendakwaan terhadap Ismail Sabri di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (SPRM) di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur ditangguhkan pada 27 Ogos ini.

Mengulas lanjut, Amer Hamzah berkata, Ismail Sabri sememangnya mempunyai sejarah masalah kesihatan.

"Beliau ada terjatuh dua minggu lalu dan dimasukkan ke Hospital Pantai.

"Malah, beliau juga telah dijadualkan menjalani pemeriksaan susulan pada Isnin depan," katanya.

Amer Hamzah meninggalkan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur selepas hakim menetapkan kes pendakwaan anak guamnya ditangguhkan sehingga 27 Ogos ini. FOTO: SINAR HARIAN/ ROSLI TALIB