KOTA BHARU - Kegiatan mencuri lembu yang dipercayai didalangi satu kumpulan di Kelantan ditumpaskan polis susulan penahanan 10 individu termasuk dua wanita beserta penemuan semula 32 ekor lembu curi.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, kesemua suspek berusia antara 23 hingga 71 tahun itu ditahan dalam beberapa serbuan berasingan di Bachok, Pasir Puteh dan Kuala Terengganu.
Menurut beliau, operasi dijalankan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan bersama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Puteh.
“Ujian saringan awal air kencing ke atas seorang suspek lelaki pula didapati positif dadah jenis methamphetamine,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, serbuan itu turut merampas lapan telefon bimbit, sebotol kaca berlabel Illium Xylazil-100 dipercayai ubat pelali bersama alat picagari, sebuah Toyota Hilux dan sebuah Perodua Kancil.
“Kejayaan itu membolehkan polis menyelesaikan 20 kes curi lembu yang dilaporkan di Kelantan membabitkan anggaran kerugian keseluruhan RM96,000,” ujarnya.
Kata beliau, semua suspek kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.
“Siasatan lanjut masih diteruskan bagi melengkapkan kertas siasatan,” katanya.