Bukit Malut bukan 'port' Rohingya - Penduduk

Iklan
Kehidupan masyarakat di Bukit Malut tidak jauh berbeza dengan komuniti lain di Langkawi yang menjalani kehidupan secara aman. Gambar kecil: Mohamad Fadzli (kiri) dan Hasanah

LANGKAWI - Penduduk Bukit Malut menepis pelbagai persepsi negatif yang sekian lama membelenggu kawasan itu termasuk dakwaan kononnya ia menjadi penempatan utama etnik Rohingya dan lokasi pendaratan pendatang asing tanpa izin (PATI).

Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Bukit Malut, Mohamad Fadzli Abdullah berkata, masyarakat di situ sudah lali berdepan pelbagai tuduhan setiap kali timbul isu membabitkan etnik Rohingya di Langkawi.

Iklan
Iklan

“Kalau orang Rohingya mendarat di Langkawi, tempat kami yang akan jadi sasaran untuk dipersalahkan. Kami sudah lali dengan persepsi negatif terhadap Bukit Malut,” katanya ketika ditemui di sini pada Khamis.

Beliau turut menyangkal dakwaan kononnya terdapat kira-kira 15,000 etnik Rohingya menetap di Bukit Malut, selain menafikan kawasan itu menjadi lokasi pendaratan golongan terbabit.

Iklan

Menurutnya, kedudukan Bukit Malut yang berhampiran beberapa agensi penguat kuasa menjadikan dakwaan tersebut tidak berasas.

“Pejabat Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Tentera Laut Diraja Malaysia berada berhampiran kawasan ini. Kalau ada pergerakan yang mencurigakan, sudah tentu ia akan dikesan,” katanya.

Iklan

Mohamad Fadzli berkata, dakwaan kononnya orang ramai tidak dibenarkan memasuki Bukit Malut atau kawasan itu tidak selamat juga adalah tidak benar.

Jelasnya, tiada sebarang halangan untuk memasuki Bukit Malut malah tahap keselamatan sentiasa dipantau oleh pihak berkuasa.

Beliau berkata, stigma terhadap Bukit Malut suatu ketika dahulu turut memberi kesan kepada penduduk apabila terdapat majikan yang didakwa enggan mengambil pekerja dari kawasan itu.

Bagaimanapun, katanya, keadaan kini semakin bertambah baik apabila masyarakat luar mula memahami keadaan sebenar.

“Kira-kira 85 peratus penduduk Bukit Malut bekerja sebagai nelayan, manakala selebihnya terdiri daripada peniaga, pengusaha kereta sewa, penjawat awam, anggota badan beruniform serta lepasan institusi pengajian tinggi,” tambahnya.

Seorang penduduk Bukit Malut menjemur ikan yang menjadi sebahagian pendapatan mereka.

Sementara itu, seorang penduduk, Hasanah Zakaria, 42, berkata, dia berharap orang ramai tidak terus mempercayai persepsi negatif yang tersebar di media sosial tanpa melihat sendiri keadaan sebenar di Bukit Malut.

“Saya rasa mereka kena masuk dahulu dan tengok sendiri kehidupan di Bukit Malut ini. Kami hidup seperti penduduk kampung lain, tidak ada jenayah yang membimbangkan.

“Rumah saya ini tidak pernah dipecah masuk. Tak perlulah takut nak datang ke Bukit Malut. Saya pernah dengar orang kata kalau masuk Bukit Malut, tak akan dapat keluar lagi. Semua itu tidak benar,” katanya.

Hasanah yang menetap di kawasan itu sejak lebih 20 tahun berkata, kehidupan masyarakat di Bukit Malut tidak jauh berbeza dengan komuniti lain di Langkawi yang menjalani kehidupan secara aman.

Katanya, anak lelakinya kini belajar di sebuah sekolah berasrama di Langkawi dan berjaya memperoleh keputusan cemerlang dalam subjek Matematik.

“Saya tidak nafikan anak ada rasa kurang selesa dengan tohmahan terhadap Bukit Malut ini, namun saya sentiasa berpesan supaya dia mengabaikan segala kata-kata negatif dan memberi tumpuan kepada pelajaran,” katanya.