'Isteri patah tangan, kereta rosak teruk' - Mangsa nahas gajah pertimbang tindakan undang-undang

Iklan
Abdul Wahid (kiri) melihat kecederaan pada tangan kanan isterinya yang patah selepas kenderaan mereka merempuh sekumpulan gajah liar ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pasir Gajah. Foto Bernama

CHUKAI - Pemandu kenderaan pelbagai guna (MPV) yang melanggar sekumpulan gajah liar di Kilometer 274.6 arah utara berhampiran laluan Cheneh-Chukai Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) di sini Selasa lepas, berharap syarikat konsesi itu segera mengambil langkah pencegahan bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

Mangsa, Abdul Wahid Ismail, 55, berkata, langkah memperkukuh keselamatan seperti membaiki pagar yang rosak dapat mengurangkan risiko kemalangan lebih serius kepada penguna lebuh raya berkenaan.

Iklan
Iklan

Abdul Wahid. Foto Bernama

"Sebelum berlaku kemalangan lebih serius dan meragut nyawa, lebih baik tindakan segera diambil untuk membaiki pagar keselamatan serta memperkukuh langkah pencegahan bagi mengelakkan kejadian sama daripada berulang," katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Pasir Gajah di sini pada Khamis.

Iklan

Beliau menyokong arahan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi semalam, supaya syarikat itu segera membaiki pagar keselamatan yang rosak, selain meneliti langkah jangka panjang untuk meningkatkan tahap keselamatan pengguna susulan kemalangan berkenaan.

Abdul Wahid bersama isteri, Fauziah (kanan) melihat rakaman dari kamera papan pemuka semasa merempuh sekumpulan gajah liar ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pasir Gajah. Foto Bernama

Iklan

Abdul Wahid yang bekerja sebagai pemandu lori berkata, pihaknya berkemungkinan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap syarikat konsesi LPT2 susulan kejadian menimpanya.

"Kemalangan itu menyebabkan isteri saya, Fauziah Muda, 52, mengalami kecederaan patah tangan kanan, manakala kereta kami juga mengalami kerosakan teruk,” katanya.

Pasangan suami isteri cedera apabila MPV yang dinaiki merempuh sekumpulan gajah di KM274.6 LPT2 selepas susur keluar Plaza Tol Cheneh pada Selasa.

Dalam kejadian 10.20 malam Selasa lepas, pasangan suami isteri itu mengalami kecederaan selepas MPV jenis Toyota Estima yang dinaiki mereka melanggar sekumpulan gajah yang melintas di LPT2. - Bernama