Nobita, Uzumaki dan Luffy antara nama pilihan penduduk Indonesia

Iklan
Watak daripada siri animasi Jepun bukan sahaja popular di layar kaca, malah kini turut menjadi inspirasi sebahagian ibu bapa di Indonesia ketika memilih nama anak.

JAKARTA – Watak daripada siri animasi Jepun bukan sahaja popular di layar kaca, malah kini turut menjadi inspirasi sebahagian ibu bapa di Indonesia ketika memilih nama anak.

Data Direktorat Jeneral Kependudukan dan Pencatatan Sipil (Dukcapil) Kementerian Dalam Negeri Indonesia merekodkan sejumlah nama yang diinspirasikan daripada watak animasi terkenal seperti Naruto dan Doraemon dalam pangkalan data penduduk negara itu.

Iklan
Iklan

Menurut Ketua Pengarah Dukcapil, Teguh Setyabudi, data kependudukan bukan sekadar angka, tetapi turut menggambarkan perubahan sosial serta fenomena yang berlaku dalam masyarakat.

“Data bukan sekadar angka, tetapi turut membawa pelbagai makna dan mampu menggambarkan fenomena yang berlaku dalam masyarakat,” katanya ketika membentangkan Data Kependudukan Bersih Semester I 2026 pada Mesyuarat Koordinasi Nasional Dukcapil pada Selasa.

Iklan

Beliau berkata, terdapat ibu bapa yang memilih nama anak berdasarkan watak animasi kegemaran mereka.

Uzumaki paling banyak digunakan

Iklan

Berdasarkan rekod Dukcapil, Uzumaki menjadi nama watak animasi Jepun paling banyak digunakan dengan seramai 190 penduduk Indonesia.

Nama itu merujuk kepada klan ninja dalam siri popular Naruto, termasuk watak utama Naruto Uzumaki.

Selain itu, nama Nobita daripada siri Doraemon turut digunakan oleh 181 penduduk, manakala nama lain seperti Sasuke direkodkan sebanyak 158 orang, Naruto (157) dan Uchiha (152).

Turut tersenarai ialah nama watak daripada siri animasi lain seperti D Luffy daripada One Piece dengan 79 penduduk, Sinchan (66), Boruto (60), Usop (37), Inuyasha (23), Doraemon (16) dan Suneo (8).

Trend itu menunjukkan pengaruh budaya popular Jepun semakin ketara dalam kalangan generasi muda Indonesia, termasuk dalam aspek pemilihan nama yang menjadi identiti seseorang.

Nama tradisional semakin berubah

Selain pengaruh animasi Jepun, Dukcapil turut melihat perubahan trend pemberian nama antara generasi.

Menurut Teguh, nama tradisional yang pernah popular dalam kalangan generasi terdahulu semakin berkurangan penggunaannya dalam kalangan generasi lebih muda.

Bagi generasi Baby Boomer (1946-1964), nama lelaki seperti Slamet dan Sutrisno antara yang paling banyak digunakan, manakala Aminah dan Nurhayati menjadi nama perempuan yang dominan.

Memasuki Generasi X (1965-1980) dan Milenial (1981-1996), nama seperti Sutrisno, Herman, Nurhayati dan Sri Wahyuni masih menjadi pilihan utama.

Namun, trend itu berubah dalam kalangan Generasi Z dan Generasi Alpha apabila muncul nama yang lebih moden serta dipengaruhi pelbagai sumber budaya.

Bagi Generasi Alpha (2013-2024), nama lelaki paling banyak digunakan ialah Muhammad Alfatih, manakala Siti Aisyah dan Aisyah Ayudia I menjadi antara nama perempuan paling popular.

Dukcapil turut merekodkan beberapa fakta menarik lain, termasuk seorang penduduk yang memiliki nama sepanjang 79 aksara serta individu tertua dalam rekod kependudukan berusia 118 tahun dari Kabupaten Bangkalan, Jawa Timur.

Selain itu, nama bernuansa antarabangsa juga semakin digunakan di Indonesia, antaranya Olivia yang dimiliki 142,284 penduduk, diikuti Justin (18,551), Ariana (15,281), Selena (5,533) dan Taylor (153).

Fenomena itu memperlihatkan bagaimana perubahan zaman, pengaruh budaya global dan minat terhadap hiburan antarabangsa turut membentuk trend nama dalam masyarakat Indonesia. - Agensi