15 pelajar mulakan laluan ke arah akauntan profesional

Iklan
Majlis pendaftaran itu diadakan bersempena program AYMO x MyPAC: Empowering Excellence MARA 2026, yang turut menyaksikan penyerahan Surat Tawaran Tajaan MyPAC kepada pelajar FIA-ACCA serta pelantikan KPM Ayer Molek sebagai salah satu penyedia khidmat latihan MyPAC.

MELAKA – Seramai 15 pelajar baharu memulakan langkah ke arah memperoleh kelayakan perakaunan profesional apabila mendaftar dalam Program MyPAC FIA-ACCA di Kolej Profesional MARA (KPM) Ayer Molek, Melaka.

Kesemua pelajar terbabit menerima tajaan daripada Maybank Islamic Berhad, Bank Islam Malaysia Berhad, Yayasan Khazanah dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bagi mengikuti program tersebut sebagai laluan melengkapkan pengajian sehingga memperoleh kelayakan profesional Association of Chartered Certified Accountants (ACCA).

Iklan
Iklan

Majlis pendaftaran itu diadakan bersempena program AYMO x MyPAC: Empowering Excellence MARA 2026, yang turut menyaksikan penyerahan Surat Tawaran Tajaan MyPAC kepada pelajar FIA-ACCA serta pelantikan KPM Ayer Molek sebagai salah satu penyedia khidmat latihan MyPAC.

Ketua Pegawai Eksekutif MyPAC, Datuk Zaiton Mohd Hassan berkata, kemasukan kumpulan pelajar baharu itu mencerminkan komitmen berterusan MyPAC bersama rakan strategik dan penaja dalam memperluaskan akses kepada pendidikan perakaunan profesional khususnya dalam kalangan pelajar Bumiputera.

Iklan

Menurut beliau, peluang yang diterima oleh 15 pelajar itu merupakan permulaan kepada satu perjalanan yang memerlukan komitmen, disiplin dan kesungguhan tinggi.

"Kami mahu mereka memanfaatkan peluang ini sebaik mungkin demi masa depan yang cerah untuk menjadi akauntan bertauliah pada suatu hari nanti.

Iklan

"Pada masa sama, sokongan daripada rakan penaja amat penting dalam membolehkan pelajar yang mempunyai potensi mendapat akses kepada pendidikan profesional. Kami amat menghargai kepercayaan rakan penaja dalam bersama-sama MyPAC membangunkan bakat perakaunan profesional Bumiputera," katanya.

Program FIA-ACCA menyediakan laluan kepada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk membina asas pengetahuan dan kemahiran dalam bidang perakaunan sebelum meneruskan pengajian ke peringkat kelayakan profesional ACCA.

Zaiton berkata, kerjasama antara MyPAC, MARA, institusi pendidikan dan rakan penaja memainkan peranan penting dalam membangunkan ekosistem bakat yang bukan sahaja membuka akses kepada pendidikan profesional, malah menyokong pelajar sepanjang perjalanan mereka menjadi akauntan profesional.

"Harapan kami adalah untuk melihat pelajar yang mendaftar hari ini menamatkan pengajian dengan cemerlang dan seterusnya menjadi sebahagian daripada generasi profesional yang mampu memberi sumbangan besar kepada industri, masyarakat dan negara," katanya.

Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Pendidikan) MARA, Zahari Aziz dan turut dihadiri Pengarah Bahagian Pendidikan Tinggi MARA, Siti Aminah Abdul Kadir.

Turut hadir ialah para pelajar, ibu bapa, wakil penaja, MyPAC, MARA, KPM Ayer Molek, ACCA serta firma-firma perakaunan.

Pada majlis sama, pelantikan KPM Ayer Molek sebagai penyedia khidmat latihan turut mencerminkan komitmen kedua-dua pihak dalam memperkukuh kerjasama bagi membangunkan pendidikan serta bakat perakaunan profesional Bumiputera.

Menurut MyPAC, kerjasama strategik bersama MARA, institusi pendidikan dan rakan penaja merupakan sebahagian daripada usaha berterusan membina saluran bakat perakaunan profesional Bumiputera yang berkualiti bagi memenuhi keperluan industri pada masa hadapan.

Sehubungan itu, MyPAC akan terus memperluaskan kerjasama dengan institusi pendidikan, badan korporat, institusi kewangan, badan zakat, yayasan serta agensi berkaitan bagi membuka lebih banyak peluang kepada pelajar Bumiputera yang berpotensi memperoleh kelayakan profesional dan seterusnya menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.