Gelombang haba: Rakyat Britain tidur di dapur, ambil cuti

Iklan
Papan tanda 'Dilarang memancing' kelihatan di kawasan Falmer Pond yang kering kontang di Falmer, East Sussex, selatan London pada 5 Ogos 2026. England dan Wales merekodkan Julai paling kering dalam sejarah, menurut Agensi Meteorologi United Kingdom berdasarkan data sementara yang dikeluarkan pada 5 Ogos. Foto AFP

LONDON - Seorang daripada setiap enam rakyat Britain mengambil 'langkah drastik', termasuk tidur di dapur, tidak hadir bekerja atau menempah hotel bagi menghadapi gelombang haba, menurut dapatan badan amal Citizens Advice, lapor PA Media/dpa.

Menurut Citizens Advice, berjuta-juta penduduk di United Kingdom (UK) kini 'terperangkap dalam rumah yang tidak dapat disejukkan', dengan hampir separuh daripada mereka iaitu 44 peratus menyatakan mereka tidak mempunyai kawalan asas untuk mengelakkan kediaman masing-masing menjadi terlalu panas.

Iklan
Iklan

Citizens Advice menggesa kerajaan mengambil tindakan segera bagi menangani krisis yang kini berlaku sepanjang tahun susulan haba melampau pada musim panas dan bil tenaga yang tidak mampu ditanggung pada musim sejuk.

Antara langkah yang diambil oleh mereka yang bergelut menghadapi cuaca panas termasuk tidur di tempat yang tidak lazim seperti dapur, taman atau balkoni, mengambil cuti sakit, cuti tanpa gaji atau cuti tahunan, serta membayar untuk menginap di hotel.

Iklan

Kajian juga mendapati empat juta lagi penduduk terpaksa menggunakan kaedah sementara seperti menampal kerajang aluminium, kadbod atau kain lembap pada tingkap bagi mengurangkan haba.

Reka bentuk rumah yang kurang sesuai umpama 'perangkap haba', serta kos tinggi peralatan penyejukan seperti penyaman udara, menyebabkan ramai berasa tidak berdaya menghadapi cuaca panas, menurut kajian itu lagi.

Iklan

Tinjauan itu menunjukkan 51 peratus penyewa termasuk penyewa swasta dan penghuni perumahan sosial, merasakan mereka tidak mempunyai kawalan asas untuk mengelakkan rumah menjadi terlalu panas berbanding 40 peratus pemilik rumah.

Kajian itu turut mendapati kira-kira 90,000 pengguna rangkaian pemanasan berpusat tidak dapat mematikan sistem pemanasan mereka walaupun pada musim panas.

Ketua Pegawai Eksekutif Citizens Advice, Dame Clare Moriarty berkata:"Bagi kebanyakan orang, gelombang haba pada musim panas bukan lagi peluang untuk menikmati cahaya matahari, sebaliknya bermakna terperangkap di dalam rumah yang bahangnya menyengat tanpa sebarang kawalan terhadap suhu.”

Jurucakap kerajaan berkata, kerajaan sedang mengubah peraturan supaya buat pertama kalinya orang ramai boleh memohon geran bagi memasang pam haba udara-ke-udara yang bukan sahaja memanaskan, malah menyejukkan rumah.

"Kami juga sedang memperkukuh perlindungan kepada penyewa yang berdepan risiko haba melampau serta memastikan bangunan kediaman baharu direka bentuk untuk meminimumkan haba yang tidak diingini daripada cahaya matahari,” kata jurucakap itu.

Yonder, sebuah syarikat penyelidikan dan tinjauan berpangkalan di UK, menjalankan kajian terhadap 2,105 orang dewasa di negara itu pada 1 hingga 2 Julai. - Bernama-PA Media/dpa