KUALA LUMPUR - Seorang pelakon wanita dan tiga individu mengaku tidak bersalah di dua Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis, atas pertuduhan membuat tuntutan palsu membabitkan tuntutan insentif di bawah Program Daya Kerjaya 2.0 Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dua tahun lalu.
Pelakon drama, Farah Wahida Zainuddin, 44, dan rakannya, Mohd Nizam Jamaluddin, 45, masing-masing berdepan empat pertuduhan membuat pengakuan berkenaan ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Suzana Hussin.
Sementara dua lagi tertuduh, Lim Sue Peng, 54, dan Lim Sian Tze, 54, masing-masing berdepan lima dan lapan pertuduhan, membuat pengakuan sama di hadapan Hakim, Rosli Ahmad.
Mengikut pertuduhan, Farah Wahida didakwa sebagai Pengarah Focal Reality Entertainment Sdn Bhd, Sue Peng (Pengarah Syarikat Zfinity) dan Sian Tze (pemilik syarikat LST Concept Marketing) telah memberi dokumen palsu iaitu Borang Pengesahan Pekerja Daya Kerjaya 2.0 atas nama syarikat masing-masing kepada ejen Perkeso bagi tuntutan insentif di bawah Program Daya Kerjaya 2.0 Perkeso.
Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah premis di Off Jalan Gombak, Jalan Sungai Besi Taman Sri Sinar Segambut antara 29 Mac dan 2 Oktober 2024.
Setiap pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta sama.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai matan palsu atau RM10,000, mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Sementara Mohd Nizam didakwa atas empat pertuduhan bersubahat dengan Farah Wahida atas kesalahan sama.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 28(1)(c) Akta SPRM 2009 dibaca bersama Seksyen 18 akta sama yang memperuntukkan hukuman serupa.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Irna Julieza Maaras dan Pegawai Pendakwa SPRM, Nazreena Zainudin manakala peguam, Zulkifli Awang hadir bagi pihak (Farah Wahida) peguam, Ahmad Faruq Sidik dan S Kirthen masing-masing mewakiliSian Tze serta Sue Peng.
Mahkamah membenarkan Farah Wahida diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan dengan syarat tambahan perlu melapor diri di pejabat SPRM berhampiran sebulan sekali.
Mohd Nizam pula sebanyak RM6,000, Sue Peng (RM35,000) dan Sian Tze (RM48,000) dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan.
Tiga tertuduh itu dikehendaki memenuhi syarat tambahan iaitu melapor diri di pejabat SPRM sekali setiap bulan sekali dan menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.