KUALA LUMPUR – Kekuatan aset menjadi fokus Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dalam kesiapsiagaan menghadapi cuaca panas dan impak fenomena Super El Nino yang dijangka berlaku pada November.
Ketua Pengarah Jabaran Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Seri Nor Hisham Mohammad berkata, antaranya adalah menyegerakan bekalan dua aset operasi iaitu pam jentera bomba serta kenderaan utiliti operasi ringan pacuan empat roda.
Menurutnya, JBPM telah menerima 80 pam jentera bomba dan akan menambah 40 lagi yang dijangka diperoleh hujung bulan ini.
"Mereka (pasukan) akan pergi dahulu, membuat tinjauan, membuka laluan dan jika boleh dipadamkan, mereka akan padam terus. Ini bagi meningkatkan mobilisasi pasukan," katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Sukan Bomba (SUKBOM) 2026 di Endah Parade di sini pada Khamis.
Beliau berkata, pertambahan aset itu meletakkan JBPM pada tahap kesiapsiagaan yang lebih baik bagi menghadapi kebakaran hutan sepanjang Monsun Barat Daya.
Jelasnya, fokus utama bomba ialah melihat bagaimana kesan Super El Nino yang akan melanda Pasifik pada hujung November 2026.
"Kesannya dijangka dihadapi pada penghujung Januari 2027, khususnya di kawasan utara.
"Penumpuan kami ialah kepada persiapan menghadapi impak Super El Nino terhadap cuaca kering negara pada awal Januari tahun depan, tanpa mengabaikan operasi sepanjang Monsun Barat Daya," ujarnya.
Kata beliau, orang ramai dinasihatkan supaya tidak melakukan pembakaran terbuka kerana dikhuatiri boleh menyebabkan api merebak dengan cepat dan sukar dikawal.
"Kalau nampak api walaupun kecil, cepat hubungi jabatan supaya kita dapat memberi respons dengan segera kerana kebakaran hutan jika dibiarkan akan cepat merebak," katanya.
Dalam majlis tersebut, Nor Hisham merasmikan SUKBOM 2026 yang mempertandingkan 11 acara membabitkan penyertaan seramai 1,384 peserta termasuk kontinjen.
Kejohanan itu turut menjadi medium bagi menentukan penyertaan kontinjen JBPM ke Sukan Polis dan Bomba Dunia 2027 di Perth, Australia berdasarkan prestasi atlet dalam temasya berkenaan.