SEREMBAN – Barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Negeri Sembilan baharu dijangka mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah pada Jumaat.
Majlis Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan itu dijadualkan bermula pada jam 9.45 pagi.
Menurut sumber, Barisan Nasional (BN) yang memenangi 18 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Pilihan Raya Negeri(PRN) Negeri Sembilan ke-16 dijangka diberikan lapan portfolio Exco, manakala Perikatan Nasional (PN) yang memperoleh tujuh kerusi pula dijangka diberikan dua portfolio.
Bagaimanapun beliau tidak menolak kemungkinan boleh berlaku perubahan selagi belum berlangsungnya majlis angkat sumpah.
Difahamkan, kedudukan Exco Kanan masih menjadi tanda tanya dan hanya akan diketahui pada istiadat pelantikan yang berlangsung esok.
"Tapi yang pastinya tiada penyertaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Harapan (PH) seperti yang didakwa dan tiada juga pelantikan Timbalan Exco," katanya.
Sebelum ini, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim memaklumkan senarai Exco akan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan sebelum istiadat mengangkat sumpah berlangsung.
Untuk rekod, pada kerajaan negeri lepas, ADUN yang menjawat jawatan Exco ialah ADUN Pertang, Datuk Seri Jalaluddin Alias yang memegang jawatan Exco Kanan dan Exco Pertanian, Keterjaminan Makanan dan Kos Sara Hidup manakala ADUN Palong, Datuk Mustapha Nagoor memegang portfolio Exco Belia dan Sukan.
Turut memegang jawatan Exco ialah ADUN Linggi, Datuk Mohd Faizal Ramli yang memegang Exco Warisan, Teknologi, Inovasi dan Digital manakala Ismail pula Exco Pendidikan dan Modal Insan.