IPOH - Seorang lelaki yang maut dipercayai dibunuh dalam kejadian di sebuah rumah jagaan di Tanjung Rambutan didapati telah diikat sebelum dipukul dan dipijak oleh rakan penghuni pusat berkenaan.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, siasatan awal mendapati, insiden berlaku pada malam 3 Ogos lalu, apabila mangsa berusia 54 tahun dikatakan berkelakuan agresif dan mengganggu penghuni lain.
Menurutnya, seorang penjaga kemudiannya telah mengarahkan mangsa diikat sebelum beberapa penghuni bersama penjaga tersebut bertindak memukul serta memijaknya.
ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki maut di rumah jagaan dipercayai dibunuh, lima ditahan
"Polis menerima maklumat berhubung kematian mangsa pada jam 5.41 petang pada Selasa.
"Hasil bedah siasat oleh Pakar Perubatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh mengesahkan punca kematian adalah akibat kecederaan trauma tumpul pada bahagian kepala," katanya dalam sidang akhbar di Mes Pegawai Kanan Polis di sini pada Khamis.
Mohd Alwi berkata, mangsa merupakan salah seorang daripada 21 penghuni di pusat berkenaan dan ditempatkan di situ dengan kebenaran keluarganya.
"Keluarga mangsa telah dimaklumkan mengenai kejadian tersebut dan siasatan lanjut termasuk mendapatkan rekod perubatan mangsa daripada pusat jagaan masih dijalankan," katanya.
Sementara itu, beliau berkata, semakan awal mendapati pusat jagaan tersebut beroperasi sejak 2012 dan hanya mempunyai pendaftaran perniagaan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
Katanya, tiada dokumen dikemukakan menunjukkan premis itu mempunyai lesen sah daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) atau kebenaran Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
"Premis ini juga didapati tidak dilengkapi dengan kamera litar tertutup (CCTV).
"Polis sedang melengkapkan siasatan dari semua aspek, termasuk merakam percakapan saksi serta berhubung rapat dengan agensi-agensi berkaitan," katanya.
Media sebelum ini melaporkan, polis telah menahan lima lelaki terdiri daripada seorang penjaga dan empat penghuni pusat jagaan berusia antara 35 hingga 55 tahun bagi membantu siasatan.
Kesemua mereka direman selama empat hari bermula sehingga 8 Ogos bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, Mohd Alwi menyempurnakan Majlis Pemakaian Pangkat Asisten Komisioner kepada Ridzuan Nor Ihsan yng dilantik Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Perak dan menyaksikan Serah Terima Tugas Asisten Komisioner S Saravanan sebagai Ketua Polis Daerah Taiping.