KLUANG – Seorang pelajar perempuan sebuah kolej akan didakwa di Mahkamah Majistret Kluang pada Jumaat atas pertuduhan membunuh seorang bayi.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, keputusan itu dibuat selepas kertas siasatan dirujuk ke Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri Johor.
Jelas beliau, kertas siasatan kemudiannya diteliti Timbalan Pendakwa Raya Negeri Johor sebelum arahan pendakwaan dikeluarkan.
Berdasarkan arahan tersebut, remaja berusia 19 tahun itu akan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana didakwa membunuh seorang bayi.
Sementara, pelajar lelaki sebuah kolej berusia 19 yang sebelum ini direman akan dilepaskan dengan syarat menjadi saksi pendakwaan dalam kes berkenaan.
Pada Rabu, pelajar terbabit disambung reman selama satu hari berhubung kes bayi perempuan maut yang ditemukan dengan beberapa kesan tikaman di sebuah rumah sewa di Taman Setia Mutiara di sini pada 29 Julai lepas.
Sebelum itu, pelajar terbabit telah ditahan reman selama tujuh hari bermula dari 30 Julai hingga hari ini dengan kes disiasat di bawah Seksyen 302 dan 315 Kanun Keseksaan.
Pada 30 Julai lepas, Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad dilaporkan berkata polis menahan pasangan kekasih yang juga pelajar kolej, masing-masing berumur 19 tahun bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Beliau berkata, pihaknya menerima laporan pada 1 tengah hari berhubung seorang pelajar dimasukkan ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) kerana melahirkan anak.
Ab Rahaman berkata berdasarkan siasatan, bayi itu dijumpai oleh tenaga pengajar kolej berkenaan dan hasil pemeriksaan lanjut di HEBHK mendapati, terdapat seorang lagi bayi (kembar) dalam kandungan pelajar perempuan berkenaan yang kemudiannya selamat dilahirkan.