JITRA - Pasangan suami isteri yang dilaporkan hilang sejak 20 Julai lalu akhirnya tampil menyerah diri sebelum ditahan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu awal pagi Khamis.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Radzi Abdul Rahim berkata, pasangan berusia 39 dan 36 tahun itu hadir menyerah diri jam 1.50 pagi sebelum ditahan bagi membantu siasatan.
ARTIKEL BERKAITAN: Hutang main kutu mungkin punca tiga beranak hilang - Polis
Sebelum ini, media melaporkan pasangan berkenaan bersama anak mereka dilaporkan hilang selepas keluar dari kediaman di Taman Desa Bayanmas, Bukit Kayu Hitam dan gagal dihubungi ahli keluarga.
Kehilangan mereka mendorong bapa kepada wanita berusia 36 tahun itu membuat laporan di Balai Polis Bukit Kayu Hitam selepas gagal mengesan anak, menantu serta cucunya.
Dalam perkembangan berkaitan pada Rabu, polis memaklumkan menerima laporan daripada seorang lelaki berusia 23 tahun yang mendakwa mengalami kerugian RM25,000 akibat urusan hutang kutu yang dipercayai mempunyai kaitan dengan wanita terbabit.
Mohd Radzi berkata, laporan itu dibuat oleh lelaki berkenaan yang mendakwa menjadi mangsa dalam urusan hutang tersebut.
Kes berkenaan kini disiasat polis bagi mengenal pasti kaitan antara kehilangan pasangan itu dengan dakwaan melibatkan hutang kutu, manakala siasatan lanjut masih dijalankan.