DUBAI - Robot paling terkenal di Dubai, Bu Sunaidah meraih perhatian ramai apabila 'berkahwin' dengan sebuah lagi robot humanoid bernama Moza dalam satu majlis yang dikongsikan syarikat pengendalinya baru-baru ini.
Memetik laporan Gulf News, majlis tersebut memaparkan robot berkenaan memakai abaya hitam dengan kemasan emas, manakala beberapa lelaki berbaju pakaian tradisional lelaki (kandora) berdiri di sampingnya.
Difahamkan, hantaran itu menerima lebih 41,000 tanda suka, 2,300 komen dan kira-kira 109,000 perkongsian dalam tempoh tiga hari, menjadikannya antara detik terbesar Bu Sunaidah.
Bu Sunaidah ialah robot humanoid Unitree G1 yang dibangunkan untuk tujuan penyelidikan, pendidikan dan demonstrasi interaktif.
Robot itu juga dikenali menerusi video berkaitan budaya, tradisi dan acara awam.
Ia dibangunkan oleh Kumpulan SS Lootah dan ketuanya, Yousif Lootah serta pernah tampil bersamanya dalam beberapa acara.
Populariti Bu Sunaidah meningkat selepas ia muncul bersama Perdana Menteri Emiriah Arab Bersatu (UAE), Sheikh Mohammed Rashid Al Maktoum berhampiran Emirates Towers sebelum menjadi antara 'tetamu tetap' dalam acara berprofil tinggi termasuk forum 'Make it in the Emirates' di Abu Dhabi pada Jun lalu.
Pertengahan tahun ini, rakaman video yang menunjukkan robot itu seolah-olah menyertai jemaah menunaikan solat Aidiladha di sebuah masjid di Dubai turut menjadi tular dan mencetuskan pelbagai reaksi.
Ini bukan perkahwinan robot pertama yang mendapat perhatian di Dubai selepas pempengaruh teknologi Iraq, Ali Assem mengadakan perkahwinan 'olok-olok' dengan ChatGPT berhampiran Burj Khalifa, tahun lalu.