Aduan terus dipinggirkan

Iklan
Penduduk Flat Bukit Gedung menuntut pihak berwajib segera membaik pulih kerosakan kritikal di gelanggang futsal demi keselamatan awam.

GEORGE TOWN – Keadaan gelanggang futsal di Flat Bukit Gedung yang rosak teruk sejak beberapa tahun lalu terus mengundang kebimbangan penduduk apabila kemudahan riadah itu masih gagal dibaik pulih walaupun pelbagai aduan dikemukakan kepada pihak berkaitan.

Lebih mengecewakan, penduduk mendakwa aduan yang dibuat sejak bertahun-tahun lalu seolah-olah tidak dipedulikan apabila sehingga kini tiada tindakan menyeluruh dilakukan bagi membaiki fasiliti berkenaan.

Iklan
Iklan

Menurut Pengerusi Persatuan Penduduk Flat (Jenis R) Bukit Gedung, Mohd Farook Hassan Ali, gelanggang futsal itu berada dalam keadaan daif dengan pagar koyak dan berkarat, lampu limpah rosak, permukaan lantai berlubang serta beberapa struktur besi berkarat.

Menurutnya, kerosakan itu boleh menyebabkan kecederaan kepada penduduk yang menggunakan gelanggang berkenaan.

Iklan

Mohd Farook menunjukkan keadaan pagar dawai gelanggang futsal di Flat Bukit Gedung yang mengalami kerosakan teruk dan memerlukan perhatian segera pihak berwajib.

Katanya lagi, lebih membimbangkan, batang besi pada pagar gelanggang berkenaan telah reput dan patah sekali gus boleh mengundang kecederaan kepada pengguna.

Iklan

"Gelanggang ini dibina kira-kira 15 tahun lalu rosak dan semakin teruk sejak 2018. Namun langsung tidak diselenggara sehingga ini.

"Ia dibina oleh Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) untuk kegunaan flat ini. Namun, ia telah diserahkan kepada persatuan penduduk untuk diuruskan.

“Dulu masa mula-mula siap memang elok dan ramai guna setiap hari. Tapi lama-kelamaan rosak sebab tiada penyelenggaraan.

“Sekarang pagar rosak, lampu rosak, lantai pun berlubang. Dalam gelanggang itu sendiri ada lubang yang bahaya untuk budak-budak,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, walaupun keadaan fasiliti itu membahayakan keselamatan, kanak-kanak dan remaja di kawasan tersebut tetap menggunakan gelanggang berkenaan kerana tiada tempat lain untuk beriadah.

“Memang bahaya sebab ada besi tajam dan lantai yang rosak.

“Kami risau kalau berlaku kemalangan serius nanti baru ada tindakan. Masa itu, siapa mahu bertanggungjawab?" katanya lagi.

Menurutnya lagi, pelbagai usaha dilakukan penduduk termasuk menghantar surat permohonan dan aduan kepada beberapa pihak termasuk wakil rakyat, kerajaan negeri serta Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Katanya, permohonan dihantar kepada beberapa pihak termasuk Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin, kerajaan negeri, Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid serta KBS, namun sehingga kini masih tiada perkembangan positif diterima.

“Kami sudah hantar surat berkali-kali. Ada yang sudah setahun, dua tahun malah ada juga lebih lama daripada itu.

“Untuk KBS pula, saya hantar permohonan sekitar Januari atau Februari tahun ini tetapi sampai sekarang tiada maklum balas,” katanya.

Kerosakan kritikal pada pagar gelanggang futsal yang terkopak dan terbiar, membahayakan keselamatan pengunjung awam.

Tambahnya, alasan sering diberikan adalah berkaitan tapak dan kekangan peruntukan sehingga menyebabkan proses pembaikan terus tertangguh.

“Mereka kata isu tapak, bajet belum ada dan macam-macam alasan lagi. Kami sudah pergi macam-macam tempat untuk mohon bantuan tetapi tetap tiada hasil,” katanya.

Mohd Farook berkata, penduduk kecewa kerana kawasan mereka seolah-olah dipinggirkan sedangkan fasiliti di kawasan lain menerima perhatian.

“Kami tengok kawasan lain seperti Sungai Ara dan Halaman Mayang sudah dapat kemudahan baharu dan dibaik pulih.

“Padahal gelanggang kami rosak lebih awal daripada tempat-tempat itu. Jadi penduduk rasa seperti diabaikan,” katanya.

Kerosakan struktur gelanggang futsal yang berlarutan sejak bertahun-tahun lamanya didakwa dipandang sepi oleh pihak yang berkenaan.

Menurutnya, Flat Bukit Gedung mempunyai 1,000 unit rumah dengan anggaran lebih 7,000 penduduk yang memerlukan kemudahan riadah selesa.

“Kami bukan minta bina gelanggang baharu. Kami cuma mahu fasiliti sedia ada dibaiki dan diselenggara semula supaya selamat digunakan,” katanya.

Ujarnya, kemudahan riadah yang selesa dapat membantu menggalakkan gaya hidup sihat selain mengeratkan hubungan komuniti setempat.

Tambahnya, penduduk di kawasan itu berharap pihak berkaitan dapat turun padang melihat sendiri keadaan gelanggang tersebut dan mengambil tindakan segera.

Mereka turut harap isu di kawasan perumahan padat penduduk tidak terus dipandang sepi kerana fasiliti riadah memainkan peranan penting dalam memastikan komuniti terutama golongan belia dapat menjalani aktiviti sihat dalam persekitaran yang selamat.