KUALA LUMPUR – Google Malaysia dan Majlis Amanah Rakyat (Mara) memperkukuh usaha mempercepat transformasi digital di institusi itu menerusi kerjasama strategik yang memanfaatkan teknologi kecerdasan buatan (AI) di institusi pendidikan Mara.
Inisiatif yang diterajui Kolej Poly-Tech Mara Sdn Bhd (KPTMSB) itu melibatkan pelaksanaan Google Workspace for Education Plus dengan penyediaan 30,000 lesen kepada warga Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) serta enam kampus Kolej Poly-Tech Mara di seluruh negara.
Pelaksanaan platform tersebut dijangka memperkasa pengalaman pengajaran, pembelajaran dan kolaborasi digital menerusi penggunaan aplikasi berasaskan AI seperti Gemini, Google Classroom dan NotebookLM.
Timbalan Ketua Pengarah (Pendidikan) Mara, Zahari Aziz berkata, AI bukan lagi sekadar teknologi masa depan, sebaliknya menjadi pemacu utama perubahan dalam bidang pendidikan, pekerjaan dan pembangunan modal insan.
Menurutnya, institusi pendidikan perlu bergerak seiring dengan perkembangan teknologi bagi melahirkan graduan yang celik digital, berfikiran kritis serta mampu memenuhi keperluan industri pada masa hadapan.
"Pemanfaatan teknologi AI mampu meningkatkan produktiviti dan keberkesanan proses pengajaran serta pembelajaran, di samping memperkukuh kemahiran digital warga institusi pendidikan," katanya ketika melancarkan kerjasama tersebut di sini pada Rabu.
Selain penyediaan platform digital, kerjasama itu turut merangkumi penubuhan Centre of Excellence (CoE), pelaksanaan Google Career Certificates, Google Cloud Career Launchpad, latihan AI dan pensijilan Gemini.
Dalam pada itu, Google Malaysia turut membiayai 500 Google Professional Certificates kepada pelajar UPTM sebagai usaha meningkatkan kebolehpasaran graduan dan melengkapkan mereka dengan kemahiran yang diperlukan dalam ekonomi digital.
Kerjasama strategik itu mencerminkan komitmen bersama Mara dan Google Malaysia dalam membangunkan bakat digital negara.
Selain itu, ia mampu melahirkan generasi yang bersedia memimpin era AI, sekali gus menyokong aspirasi Malaysia untuk terus berdaya saing dalam ekonomi digital global.