PASIR MAS - Bekas Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed yang kembali menyertai UMNO pada Jun lepas menegaskan beliau tidak lagi berminat untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), sebaliknya mahu memberi laluan kepada pelapis kepimpinan muda parti.
Mustapa yang juga bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, pada usia beliau sekarang, sudah tiba masanya generasi muda diberi peluang memikul tanggungjawab sebagai pemimpin, lagipun landskap politik dan kehendak pengundi kini semakin berubah.
"Saya kini sudah 76 tahun, jalan pun sudah goyang. Adalah tidak adil untuk mana-mana parti tidak menghargai peranan orang muda, mereka perlu diberi peluang.
"Saya sudah tidak aktif dalam politik dan saya tidak berminat untuk bertanding dalam mana-mana PRU. Berilah kepada orang lain atau pelapis muda yang lebih layak,” katanya selepas Majlis Sambutan Kepulangan Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Majlis Sambutan Bulan Kemerdekaan anjuran Majlis Bekas Wakil Rakyat Kelantan di sini pada Rabu.
Mustapa berkata, meskipun tidak lagi berhasrat bertanding, beliau akan terus menyumbang kepada parti menerusi perkongsian pandangan, strategi dan pengalaman selain membantu memperkukuh hubungan dengan masyarakat.
"Saya lihat peranan saya sekarang lebih sesuai membantu rakan-rakan baharu dengan memberi pandangan, semangat dan buah fikiran. Dari segi tenaga, saya sudah tidak kuat seperti dahulu. Namun, dalam apa jua keadaan, kita perlu terus berjuang mengikut kemampuan kerana apa yang penting kita mahu melihat Malaysia kembali cemerlang,” katanya.
Beliau berkata, pengalaman yang dimiliki akan dimanfaatkan melalui pelbagai platform, termasuk perkongsian ilmu serta pengalaman bersama mahasiswa di institusi pengajian tinggi awam dan swasta.
Mustapa kembali menyertai UMNO pada Jun tahun ini menerusi inisiatif Rumah Bangsa selepas meninggalkan parti itu pada September 2018 untuk menyertai Bersatu. - Bernama