'Harap sabar, Allah sudah jemput suami awak'

Iklan
Gambar kenangan Nur Aisyah dan Allahyarham Mohamad Nurhaziq bersama tujuh anak mereka.

KUALA LUMPUR -"Puan, harap bersabar. Allah sudah menjemput suami awak" Itulah kata-kata yang mengubah hidup Nur Aisyah Mohd Rodzi, 37, selepas panggilannya dijawab seorang anggota polis memaklumkan suaminya maut dalam kemalangan di Jalan Travers di sini, Jumaat lalu.

Nur Aisyah berkata, sebelum itu dia mula berasa tidak sedap hati apabila suaminya, Allahyarham Mohamad Nurhaziq Mohd Anin, 37, yang kebiasaannya pulang sekitar jam 11 pagi selepas mengajar di Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Bangsar, masih belum tiba di rumah.

Iklan
Iklan

"Saya telefon arwah beberapa kali tetapi tidak berjawab, mungkin arwah singgah isi minyak.

"Panggilan keempat baru dengar suara, tetapi yang bercakap bukan suami, sebaliknya anggota polis yang meminta saya bersabar.

Iklan

"Masa itu saya dah terfikir mesti berlaku kemalangan, tak lama kemudian saya WhatsApp anggota polis itu dan dia balas suami sudah dijemput Ilahi," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.

Terdahulu, media melaporkan Mohamad Nurhaziq maut dalam kemalangan membabitkan motosikal yang ditunggangnya dengan sebuah pacuan empat roda dan sebuah kereta berhampiran Jalan Travers.

Iklan

Muhammad Nurhaziq disahkan meninggal dunia di tempat kejadian sebelum pengesahan dibuat pegawai perubatan Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada jam 12.30 tengah hari.

Mengulas lanjut, Nur Aisyah memberitahu, dia kemudian bergegas ke HKL untuk membuat pengecaman jenazah suaminya.

Nur Aisyah berkata, kejadian berlaku semasa Allahyarham baru selesai mengendalikan kelas di UniKL sebelum dalam perjalanan pulang ke rumah.

Katanya, suaminya yang juga guru al-Quran sambilan mempunyai jadual mengajar yang padat bermula seawal selepas Subuh dengan kelas dalam talian, diikuti kelas di UniKL, selain mengajar secara persendirian dari rumah ke rumah.

"Walaupun sibuk, dia tetap akan balik ke rumah untuk ambil anak dari sekolah agama sebelum sambung mengajar semula.

"Dulu dia ada kelas malam, tetapi selepas dapat mengajar di UniKL, dia hentikan kelas malam sebab nak lebih banyak luangkan masa dengan keluarga," katanya.

Menurut Nur Aisyah, sepanjang 15 tahun melayari alam rumah tangga, Allahyarham disifatkan sebagai seorang suami bertanggungjawab dan sentiasa memastikan segala urusan keluarga diuruskan dengan baik.

"Arwah memang tegas, tetapi sangat bertanggungjawab, malah semua urusan rumah, kereta, bil dan keluarga dia uruskan.

"Pemergiannya memang memberi kesan besar kepada saya dan tujuh anak kami yang berusia antara dua hingga 14 tahun," katanya.

Dalam pada itu, Nur Aisyah berharap orang awam yang mempunyai rakaman kamera papan pemuka (dashcam) kejadian tampil membantu siasatan polis.

"Kami harap sesiapa yang ada rakaman boleh tampil kerana kami mahu mengetahui apa sebenarnya yang berlaku ketika kejadian," katanya.