AYER KEROH - Seorang anggota Jabatan Penjara ditahan disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM3,000 sebagai dorongan untuk membawa masuk artikel larangan ke dalam penjara.
Anggota lelaki berusia lingkungan 20-an itu telah ditahan kira-kira jam 11.50 pagi, Selasa di rumahnya di Sungai Petani, Kedah.
Perintah reman selama enam hari sehingga 10 Ogos terhadap suspek telah dikeluarkan Majistret Uthman Abd Ghani selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Ayer Keroh pada Rabu.
Menurut sumber, siasatan awal mendapati suspek dipercayai melakukan perbuatan tersebut pada Mac lalu ketika bertugas di penjara di negeri ini.
Sementara itu, Pengarah SPRM Melaka, Datuk Adi Supian Shafie ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.