ALOR SETAR – [DIKEMAS KINI] Kerajaan Persekutuan disaran menubuhkan satu jawatankuasa khas melibatkan Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri Kedah dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang bagi mengkaji secara menyeluruh kadar bayaran pajakan Pulau Pinang mengikut nilai semasa.
Bekas Ahli Dewan Negara yang mewakili masyarakat Siam, Datuk Seri Boon Som Inong berkata, langkah berkenaan mampu memastikan semakan kadar bayaran pajakan dibuat secara adil serta selaras dengan semangat dan maksud asal perjanjian.
Menurutnya, jawatankuasa khas itu juga boleh meneliti mekanisme terbaik supaya sebarang pertambahan hasil daripada semakan kadar pajakan dapat dimanfaatkan untuk kepentingan bersama.
“Saya menyokong penuh titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin ibni Almarhum Sultan Badlishah yang menitahkan supaya Kerajaan Persekutuan mengkaji semula kadar bayaran pajakan Pulau Pinang mengikut nilai semasa berdasarkan semangat dan maksud asal perjanjian.
“Titah baginda berasaskan prinsip keadilan, penghormatan terhadap hak negeri Kedah serta semangat Persekutuan sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan.
Pada 5 Julai lalu, Sultan Kedah bertitah supaya kerajaan Persekutuan mengkaji semula kadar bayaran pajakan Pulau Pinang mengikut kadar semasa berdasarkan semangat dan maksud asal perjanjian.
Baginda bertitah, bayaran pajakan yang diterima kerajaan Kedah ketika ini jauh lebih rendah berbanding nilai yang sewajarnya dan hak serta kedaulatan Kedah seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan perlu dihormati oleh semua pihak.
Titah tersebut dizahirkan ketika Istiadat Menyembah Tahniah dan Penganugerahan Darjah-Darjah serta Bintang-Bintang Kebesaran sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Kedah Ke-84 di Istana Anak Bukit di sini.
Boon Som berkata, Kadar bayaran itu bermula pada nilai RM10,000 sebelum dinaikkan kepada RM10 juta setahun ketika pentadbiran Tun Dr. Mahathir Mohamad, namun tidak pernah disemak semula selepas itu.
Menurutnya, keadaan itu wajar dinilai semula supaya kadar bayaran berkenaan mencerminkan nilai semasa tanpa menjejaskan hubungan baik antara Kedah dan Pulau Pinang.
“Semakan ini bukan bertujuan mempertikaikan hubungan baik antara kedua-dua negeri, sebaliknya memastikan keadilan kepada Kedah yang selama ini memikul tanggungjawab besar memelihara khazanah alam yang turut memberi manfaat kepada negeri-negeri lain,” ujarnya.
Beliau turut mencadangkan supaya sebahagian hasil tambahan yang diperoleh hasil semakan kadar pajakan disalurkan bagi memperkukuh usaha pemuliharaan Hutan Simpan Ulu Muda serta kawasan tadahan air Sungai Muda.
Menurutnya, kawasan berkenaan merupakan sumber utama bekalan air kepada Kedah selain membekalkan air mentah kepada sebahagian besar penduduk dan sektor perindustrian di Pulau Pinang.
“Pemuliharaan Hutan Simpan Ulu Muda dan kawasan tadahan air Sungai Muda bukan sahaja menjamin kelangsungan bekalan air kepada Kedah dan Pulau Pinang, malah merupakan pelaburan strategik bagi memastikan keselamatan sumber air negara untuk jangka panjang,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil inisiatif menyelesaikan isu berkenaan secara berhemah memandangkan bayaran pajakan Pulau Pinang dibuat oleh Kerajaan Persekutuan.
Katanya, penyelesaian yang dicapai secara muafakat bukan sahaja menghormati titah Sultan Kedah dan semangat asal perjanjian, malah mampu memperkukuh hubungan antara Kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri serta memberi manfaat kepada rakyat Kedah, Pulau Pinang dan negara secara keseluruhannya.