SHAH ALAM - Waris kepada empat peserta RXZ Member 8.0 yang meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya dalam empat kejadian berasingan pada 31 Julai dan 1 Ogos lepas layak menerima faedah daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
PERKESO dalam satu kenyataan memaklumkan, hasil semakan Skuad PERKESO Prihatin mendapati kesemua mangsa yang terlibat, berusia antara 20 hingga 47 tahun merupakan pencarum aktif di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4).
Menurutnya, kes pertama melibatkan Mohd Fauzi Othman, 44, yang disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah selepas motosikal ditunggangnya terbabas di kilometer 184.9 Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) menghala ke Terengganu pada 31 Julai lalu.
“Menerusi caruman dibuat sepanjang arwah bekerja, waris Allahyarham iaitu balu dan lima anaknya layak menerima Faedah Pengurusan Mayat (FPM) dan Faedah Pencen Penakat di bawah Skim Keilatan. Waris akan menerima FPM sebanyak RM3,000 secara sekali bayar bagi menampung kos pengembumian mangsa.
“Pencen Penakat secara bulanan berjumlah RM 1,794.58 mengikut syer masing-masing juga akan diberikan seumur hidup kepada balu arwah, manakala anak-anak layak menerimanya sehingga usia 21 tahun atau sehingga tamat pengajian peringkat ijazah pertama,” jelasnya.
Tambah PERKESO, bagi balu dan tiga anak arwah Zulkanain Mat Said, 39, yang meninggal dunia dalam kemalangan di Gambang pada 31 Julai lalu, turut dilindungi di bawah Akta sama.
Jelasnya, waris arwah layak menerima faedah sama iaitu FPM berjumlah RM3,000 serta Faedah Pencen Penakat berjumlah RM1,840.13 mengikut syer masing-masing yang akan diterima balunya untuk sepanjang hayat.
"Anak-anak arwah pula layak menerima bantuan sehingga usia 21 tahun atau tamat pengajian peringkat ijazah pertama," ujarnya.
"Sementara itu, waris kepada Muhammad Shahrul Mohd Sabri, 20, yang disahkan maut akibat kemalangan di kilometer 258.6 Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) menghala ke Terengganu pada 1 Ogos pula disahkan layak menerima beberapa faedah daripada Skim LINDUNG 24 Jam.
"Semakan mendapati waris Allahyarham layak menerima FPM dan Faedah Orang Tanggungan (FOT) di bawah skim berkenaan," ulasnya.
Mengulas lanjut, PERKESO berkata, sebagai pencarum aktif LINDUNG 24 Jam di bawah Akta 4, waris beliau layak menerima Faedah Pengurusan Mayat (FPM) sebanyak RM3,000 secara sekali bayar serta pencen bulanan menerusi Faedah Orang Tanggungan (FOT).
Ulasnya, disebabkan arwah belum berkahwin, FPM berjumlah RM3,000 akan diberikan secara terus kepada waris manakala FOT berjumlah RM1115.10 akan disalurkan mengikut syer masing-masing kepada ibu dan bapa arwah untuk seumur hidup sementara tiga adiknya sehingga berumur 21 tahun.
"Jika dihitung untuk tempoh jangka panjang bagi sekurang-kurangnya 20 tahun akan datang, jumlah keseluruhan FOT yang akan disalurkan kepada waris adalah lebih RM260,000.
"Ini membuktikan caruman LINDUNG 24 Jam adalah penting dalam membantu waris yang ditinggalkan kekal dilindungi," ujarnya.
Selain itu, Durulmaizi Salamon, 47, yang mengalami kecederaan bahu dan kaki kanan akibat kemalangan di kilometer 294 LPT2, Kemaman pada 31 Julai lalu, turut disahkan sebagai pencarum aktif LINDUNG 24 Jam.
PERKESO memberitahu, beliau layak menerima Faedah Hilang Upaya Sementara (FHUS) yang akan dimuktamadkan mengikut tempoh cuti sakit serta Bayaran Ganti Belanja bagi membiayai kos perubatan ketika menerima rawatan di hospital.
" Sementara itu, suaminya yang meninggal dunia akibat kemalangan sama tidak layak menerima faedah daripada PERKESO kerana bukan pencarum.
"Begitupun, PERKESO merujuk kes berkenaan ke agensi lain menerusi inisiatif Social Synergy," ujarnya.
PERKESO turut menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga yang diuji dan mendoakan agar mereka terus diberi kekuatan dalam mengharungi tempoh yang sukar ini.