SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Seorang pengerusi kuil yang didakwa atas pertuduhan menceroboh Kuil Sri Maha Mariamman di atas tanah persendirian tahun lalu, dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu.
Peguam, Latheefa Koya yang mewakili M Paramaguru, 49, berkata, Hakim, Dr Hazlina Hussain memutuskan demikian selepas membatalkan pertuduhan yang dikenakan terhadapnya.
Menerusi satu kenyataan media, Latheefa berkata, mahkamah mendapati pertuduhan dikenakan ke atas anak guam mempunyai kecacatan yang tidak boleh diperbaiki.
Beliau berkata, kuil terbabit terlibat dalam pertikaian berhubung status tanah dengan pemilik tanah persendirian, Datuk Suhaili Ahmad.
Menurutnya, hakim berpendapat kertas pertuduhan itu gagal mendedahkan bahawa Paramaguru, yang juga seorang pengawal keselamatan, mempunyai niat yang diperlukan untuk memenuhi elemen kesalahan jenayah menceroboh.
Katanya, mahkamah turut berpandangan bahawa jika kes itu diteruskan dengan perbicaraan, ia hanya akan membazirkan masa mahkamah.
Ketika dihubungi, Latheefa berkata, pertuduhan hanya menyatakan anak guam melakukan pencerobohan tanya menyatakan sebarang niat melakukan jenayah.
“Berdasarkan undang-undang, pencerobohan itu bukan bermaksud jenayah kecuali disertakan dengan melakukan niat untuk melakukan kesalahan.
Pada 9 Februari lalu, Paramaguru mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Sepang atas satu pertuduhan menceroboh tanah milik Suhaili.
Mengikut pertuduhan, bapa kepada dua anak itu didakwa memasuki kawasan tanah milik Suhaili tanpa kebenaran di Jalan Selangor, Dredging, Dengkil, pada jam 4.45 petang, 19 Jun 2025.
Dia didakwa mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda sehingga RM3,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohammed Heikal Ismail.
Sementara itu, Paramaguru meluahkan rasa lega dengan keputusan mahkamah yang membebaskannya daripada pertuduhan berkenaan sambil menegaskan beliau tidak pernah menceroboh tanah tersebut.
Sebaliknya, beliau berkata, kehadirannya ke kuil yang terletak di atas tanah itu hanyalah untuk menunaikan ibadat bersama-sama penganut lain dan bukannya dengan niat untuk melakukan jenayah.