KOTA BHARU - Lima pemilik syarikat dan seorang pengurus di negeri ini masing-masing dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu atas tuduhan melakukan keseluruhan 13 tuntutan palsu insentif Daya Kerjaya 2.0 Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), dua tahun lalu.
Mereka ialah Saipuddin Mohamad, 47, Nur Shahalwani Ab Hamid, 37, Eadzelin Azmi, 41, Mohamad Faiz Harith Hazman, 30, serta dua beranak, Nik Muhammad Afiq Rifqi Nik Araman, 29, dan bapanya, Nik Araman Yusoff, 54.
Kesemua mereka bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Dazuki Ali selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan.
Berdasarkan pertuduhan, mereka sebagai pemilik syarikat masing-masing didakwa memberikan dokumen iaitu Borang Pengesahan Pekerja Daya Kerjaya 2.0 atas nama syarikat kepada ejen Perkeso yang mempunyai penyataan palsu dengan niat hendak memperdayakan prinsipalnya.
Saipuddin didakwa melakukan enam tuntutan palsu, Nur Shahalwani empat manakala selebihnya masing-masing satu tuntutan.
Kesalahan didakwa dilakukan di daerah ini antara 18 Mei hingga 9 Oktober 2024.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta sama.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda minimum lima kali ganda jumlah atau nilai butir matan palsu atau silap itu atau RM10,000, mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mariah Omar dan Asmah Che Wan manakala lima tertuduh diwakili peguam masing-masing serta seorang tertuduh tidak diwakili peguam.
Pada prosiding itu, pihak pendakwaan menawarkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin terhadap setiap tertuduh namun kesemua mereka memohon jumlah itu dikurangkan atas alasan masing-masing kurang pendapatan.
Mahkamah kemudian membenarkan Saipuddin diikat jamin RM14,000, Nur Shahalwani (RM12,000),
Eadzelin (RM10,000), Nik Muhammad Afiq Rifqi (RM10,000), Nik Araman Yusoff, 54, (RM10,000) dan Mohamad Faiz Harith (RM8,000).
Mereka dibenarkan jaminan bercagar dengan setiap seorang penjamin warganegara berserta syarat perlu melaporkan diri ke pejabat SPRM setiap 1 hingga 5 hari bulan, menyerahkan pasport kepada pihak mahkamah dan tidak mengganggu saksi-saksi pendakwaan.
Kes-kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 13 September ini bagi serahan dokumen.