Warga Myanmar bayar RM11,000 masuk Malaysia secara haram

Iklan
Sindiket penyeludupan PATI dikesan mengenakan bayaran sehingga RM11,000 seorang kepada warga Myanmar untuk masuk ke Malaysia melalui laluan haram sebelum dihantar ke Kuala Lumpur untuk bekerja sebagai buruh. Foto PGA

KOTA BHARU - Sindiket penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) dikesan mengenakan bayaran sehingga RM11,000 seorang kepada warga Myanmar untuk masuk ke Malaysia melalui laluan haram sebelum dihantar ke Kuala Lumpur untuk bekerja sebagai buruh.

Bagi warga Nepal pula dipercayai dikenakan RM7,000 seorang bagi perjalanan yang sama.

Iklan
Iklan

Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA), Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, ia berdasarkan maklumat hasil siasatan awal yang diperoleh daripada tangkapan lapan PATI terdiri daripada empat warga Myanmar serta Nepal dalam dua operasi berasingan di Terminal Bas Kota Bharu pada Selasa.

Menurut beliau, tangkapan pertama pada jam 7 pagi membabitkan empat lelaki warga Myanmar berusia antara 19 hingga 28 tahun yang dipercayai dibawa menaiki perahu dari Thailand sebelum mendarat di sebuah pangkalan haram di tebing Sungai Kelantan.

Iklan

"Siasatan awal mendapati setiap PATI warga Myanmar dikenakan bayaran sebanyak RM11,000 bagi keseluruhan perjalanan dari negara asal sebelum dihantar ke Terminal Bas Kota Bharu untuk meneruskan perjalanan ke Kuala Lumpur dengan dijanjikan pekerjaan sebagai buruh," katanya kepada pemberita pada Rabu.

Ujar beliau, sejam kemudian, pasukan Task Force Batalion 7 PGA sekali lagi menahan tiga lelaki dan seorang wanita warga Nepal di lokasi sama selepas mereka diturunkan dari sebuah kereta Honda Accord yang kemudiannya melarikan diri sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa.

Iklan

Katanya, kumpulan warga Nepal itu dipercayai dibawa masuk menggunakan perahu melalui pesisir pantai Kampung Nelayan Baru, Tumpat sebelum dihantar ke Terminal Bas Kota Bharu.

"Mereka dipercayai membayar RM7,000 seorang kepada sindiket bagi perjalanan dari negara asal ke Malaysia sebelum dijanjikan pekerjaan sebagai buruh di Kuala Lumpur," katanya.

Ahmad Radzi memberitahu, pemeriksaan mendapati kesemua PATI gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah dan dipercayai memasuki negara ini melalui laluan yang tidak diwartakan.

Beliau berkata, pihaknya turut merampas lapan telefon bimbit pelbagai jenama dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM12,000.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, manakala semua PATI telah diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kota Bharu untuk tindakan lanjut," katanya.