PENAHANAN seorang juruterbang tempatan di Lapangan Terbang Soekarno-Hatta, Jakarta yang didakwa menyeludup dadah seberat kira-kira 25 kilogram (kg) bukan sahaja mengejutkan, malah mencalarkan imej negara.
Lebih membimbangkan, dadah yang ditemui dalam bagasi suspek dilaporkan melepasi semua lapisan pemeriksaan keselamatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum penerbangan ke Jakarta.
Sudah tentu timbul persoalan dalam kalangan masyarakat, bagaimana sejumlah dadah yang begitu besar boleh terlepas daripada pandangan pengimbas berteknologi tinggi di pintu keluar utama negara?
Adakah wujud kelemahan sistem, kecuaian manusia atau modus operandi sindiket yang jauh lebih licik daripada kemampuan teknologi sedia ada? Adakah wujud kelonggaran prosedur pemeriksaan ke atas kru penerbangan atau wujud elemen counter-setting membabitkan komplot petugas dalaman?
Jika 25kg dadah boleh lolos, bayangkan risiko ancaman lain yang boleh menembusi pintu sempadan negara sekiranya berlaku kelemahan dalam aspek integriti dan kawalan keselamatan.
Malah, siasatan oleh pihak berkuasa Indonesia turut mendedahkan ia bukan kali pertama suspek terbabit dalam kegiatan penyeludupan dadah. Jika benar, pendedahan itu sudah cukup menimbulkan persoalan tentang keberkesanan sistem kawalan dan pengesanan sedia ada.
Di sinilah ia menguji kredibiliti institusi penguat kuasa dan sistem keselamatan negara. Rakyat bukan sahaja mahu mengetahui siapa yang bersalah, malah mahu diyakinkan bahawa sistem negara mampu mengekang taktik baharu sindiket jenayah rentas sempadan.
Di sisi lain, kes ini membabitkan seorang juruterbang, profesion yang diberikan kepercayaan mengendalikan pesawat dan membawa keselamatan ratusan penumpang setiap hari. Integriti bukan sekadar mematuhi undang-undang ketika bertugas. Ia moral yang perlu dipelihara sama ada ketika memakai seragam mahupun di luar waktu kerja.
Apabila seseorang yang memegang amanah sebesar itu dikaitkan dengan jenayah berat, keyakinan masyarakat terhadap profesion tersebut mungkin turut menerima tempias.