Insiden juruterbang seludup dadah dedah kelemahan keselamatan sempadan

Iklan
Laporan muka depan Sinar Harian pada Rabu.

PENAHANAN juruterbang warga Malaysia berusia 39 tahun di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Jakarta mencetuskan kebimbangan serius terhadap keselamatan sempadan negara.

Suspek didakwa cuba menyeludup lebih 25 kilogram (kg) dadah jenis MDMA (ekstasi) dan syabu, sekali gus mendedahkan ancaman baharu sindiket pengedaran dadah antarabangsa.

Iklan
Iklan

Kes berprofil tinggi itu menunjukkan sindiket kini mengubah strategi dengan mengeksploitasi individu berjawatan tinggi bagi memanfaatkan akses serta kedudukan tertentu.

Insiden itu turut menimbulkan persoalan terhadap tahap keberkesanan prosedur keselamatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), khususnya membabitkan laluan krew penerbangan.

Iklan

Berdasarkan kenyataan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan, rampasan dadah di KLIA meningkat ketara tahun ini.

Bagi tempoh Januari hingga Julai, sebanyak 1.3 tan dadah bernilai kira-kira RM108 juta dirampas berbanding 235 kilogram bernilai RM18.4 juta tahun lalu.

Iklan

Peningkatan hampir enam kali ganda itu menunjukkan KLIA terus menjadi sasaran utama sindiket pengedaran dadah tempatan dan antarabangsa.

Situasi berkenaan membuktikan sindiket masih melihat laluan udara negara sebagai ruang strategik untuk menjalankan aktiviti penyeludupan.

Kes juruterbang terbabit juga menunjukkan sindiket tidak lagi hanya bergantung kepada keldai dadah konvensional.

Sebaliknya, mereka cuba mengeksploitasi individu profesional yang mempunyai akses istimewa dalam sistem operasi penerbangan.

Perkara paling membimbangkan ialah kemungkinan kewujudan ancaman ‘orang dalam’ yang boleh menjejaskan keselamatan keseluruhan sistem.

Suspek dipercayai berjaya melepasi saringan awal di KLIA sebelum polis mengesan kaitan seorang kakitangan bertugas di laluan keselamatan.

Keadaan itu menunjukkan keperluan menilai semula tahap integriti serta pemantauan terhadap semua individu yang mempunyai akses kawasan sensitif.

Selain itu, bekalan dadah yang diperoleh daripada sebuah apartmen di Ampang, Selangor membuktikan kewujudan rangkaian logistik tempatan.

Lokasi kediaman tertentu dipercayai digunakan sebagai tempat penyimpanan sementara sebelum bahan terlarang dihantar ke pintu pelepasan antarabangsa.

Rangkaian ini menunjukkan sindiket mempunyai perancangan tersusun dan mampu memanfaatkan kelemahan dari peringkat bekalan hingga penghantaran.

Sikap sindiket yang terus mencuba walaupun berdepan hukuman berat membuktikan keuntungan haram menjadi faktor utama kegiatan itu berterusan.

Justeru, tindakan pencegahan perlu dilaksanakan secara lebih agresif oleh semua agensi berkaitan.

Antara langkah penting ialah pelaksanaan saringan rawak dan kaedah double-blind screening terhadap juruterbang, kru kabin serta petugas darat.

Pendekatan itu dapat mengurangkan kebergantungan kepada saringan biasa serta menutup ruang berlakunya kompromi keselamatan.

Ujian dadah berkala dan mengejut juga perlu dipertimbang bagi memastikan krew penerbangan bebas daripada penyalahgunaan bahan terlarang.

Dalam masa sama, penggunaan teknologi AI dan pengimbas pelbagai spektrum perlu dipertingkatkan bagi mengesan bahan sintetik secara lebih tepat.

Risikan terhadap lokasi ‘safehouse’ serta kerjasama antara PDRM, Polri dan BNN perlu diperkukuh bagi memutuskan rangkaian sindiket.

Kes ini menjadi peringatan bahawa keselamatan sempadan memerlukan gabungan teknologi, integriti petugas dan risikan bersepadu bagi melindungi negara.