RM1.1 juta ganjaran untuk wira-wirawati Sukan Komanwel Glasgow

Iklan
Kontinjen negara yang mengharumkan nama Malaysia di Sukan Komanwel Glasgow 2026 selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Selasa. Foto: Bernama

SEPANG - Kerajaan menyalurkan peruntukan berjumlah RM1.1 juta menerusi Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) sebagai ganjaran kepada atlet kontinjen Malaysia yang berjaya meraih pingat pada Sukan Komanwel Glasgow 2026.

Menteri Belia dan Sukan Dr. Mohammed Taufiq Johari berkata, peruntukan itu merupakan tanda penghargaan terhadap pengorbanan, komitmen serta kejayaan atlet yang telah mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, pemenang pingat emas akan menerima imbuhan sebanyak RM80,000, manakala tambahan RM10,000 diberikan kepada atlet yang berjaya memecahkan rekod temasya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Majlis Sukan Negara (MSN) kini sedang mengadakan perbincangan bagi meningkatkan kadar ganjaran SHAKAM menerusi penambahan dana daripada pihak korporat.

Iklan

Malaysia menutup kempen di Glasgow dengan pencapaian melebihi sasaran apabila membawa pulang lapan pingat emas, tiga perak dan lima gangsa.

Sementara itu, Ketua Kontinjen (CDM) Malaysia Datuk Awalan Abdul Aziz berkata, pingat emas sememangnya menjadi sasaran dalaman skuad boling padang, namun ia tidak ditetapkan sebagai sasaran rasmi bagi mengelakkan tekanan berlebihan terhadap atlet.

Iklan

Beliau berkata pencapaian skuad boling padang yang meraih dua pingat perak dan dua gangsa di Glasgow merupakan peningkatan berbanding edisi Birmingham 2022 yang menyaksikan pasukan negara membawa pulang satu pingat perak dan satu pingat gangsa.

Secara keseluruhan, beliau menzahirkan rasa syukur atas kejayaan kontinjen negara yang berjaya melepasi sasaran bagi setiap warna pingat hasil kerja keras atlet serta barisan kejurulatihan. - Bernama