KUALA LUMPUR - Perkhidmatan kenderaan perisai Radpanzer Condor dan Sibmas secara rasminya ditamatkan menerusi proses pelupusan menjelang pengakhiran misi pengaman MALBATT 850-13 di Lubnan.
Pelupusan aset ketenteraan itu dilakukan menerusi kaedah pemusnahan sebagai sebahagian daripada persediaan pengunduran dan penarikan balik pasukan Malaysia yang berkhidmat di bawah mandat Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL).
Pasukan Pegawai Maklumat Awam (PIO) MALBATT 850-13 dalam kenyataannya memaklumkan, kenderaan perisai Condor yang telah berkhidmat kira-kira 40 tahun menjadi lambang ketahanan dan keupayaan aset tempur Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Menurut kenyataan itu, kenderaan berkenaan turut memainkan peranan penting sepanjang hampir dua dekad menyertai kontinjen pengaman Malaysia di bumi Lubnan.
"Sepanjang tempoh itu, kenderaan ini bukan sekadar aset ketenteraan, sebaliknya menjadi saksi kepada pelbagai cabaran operasi serta pengorbanan anggota tentera dalam memastikan keamanan terus terpelihara.
"Seiring perkembangan teknologi pertahanan dan peralihan kepada penggunaan kenderaan perisai generasi baharu, persaraan Condor dan Sibmas mencatatkan satu lagi detik penting dalam sejarah aset ketenteraan negara," menurut kenyataan itu pada Selasa.
Proses pelupusan aset berkenaan mendapat kelulusan rasmi Cawangan Pengurusan Aset, Kementerian Pertahanan Malaysia (Mindef) menerusi Lembaga Pelupusan Pasukan.
Kelulusan turut diperoleh daripada Kementerian Luar Negeri (MOFA) Lubnan serta Jabatan Kastam Lubnan selain pihak pemeriksaan fizikal oleh Jabatan Kastam Lubnan turut dilaksanakan bagi memastikan proses pelupusan itu mematuhi prosedur dan peraturan yang ditetapkan.
Menurut kenyataan itu, pelaksanaan proses berkenaan secara teratur mencerminkan ketelitian, integriti dan profesionalisme MALBATT 850-13 dalam menguruskan aset ketenteraan sebelum pengunduran kontinjen berkenaan.
"Meskipun Condor dan Sibmas tidak lagi digunakan di bumi Lubnan, legasi perkhidmatannya akan terus terpahat dalam sejarah ATM serta sumbangan Malaysia menerusi misi pengaman antarabangsa," jelas kenyataan itu.