Lagi rakyat Malaysia ditahan bawa dadah

Iklan
Pihak berkuasa menganggarkan nilai pasaran narkotik yang dirampas itu sekitar 2.79 bilion rupiah (RM634,000). - Foto Agensi

JAKARTA - Seorang lagi rakyat Malaysia ditahan pihak berkuasa Indonesia selepas menemui hampir satu kilogram syabu dan lebih 1,000 pil ekstasi yang disembunyikan di bawah korset dipakainya di Lapangan Terbang Antarabangsa Juanda, Sidoarjo.

Menurut pihak berkuasa pada Isnin, suspek berusia 22 tahun yang dikenal pasti sebagai DI diberkas di Terminal 2 selepas tiba dengan penerbangan Batik Air OD 352 dari Kuala Lumpur ke Surabaya.

Iklan
Iklan

Pegawai pemeriksaan menemui empat bungkusan mengandungi 990 gram syabu dan empat bungkusan berisi 1,089 pil ekstasi di bawah korset yang dililit pada tubuh suspek.

Siasatan awal mendapati DI bersetuju menjadi keldai dadah untuk sindiket antarabangsa kerana berdepan masalah kewangan dan dibelenggu hutang.

Iklan

Pihak berkuasa menganggarkan nilai pasaran narkotik yang dirampas itu sekitar 2.79 bilion rupiah (RM634,000).

Rampasan tersebut berpotensi menghalang dadah berkenaan daripada sampai kepada kira-kira 6,584 pengguna.

Iklan

DI bersama bahan bukti dadah telah diserahkan kepada penyiasat Polis Perbandaran Sidoarjo untuk tindakan undang-undang lanjut dan membantu siasatan bagi membongkar rangkaian lebih besar yang dipercayai terlibat dalam kegiatan sindiket dadah antarabangsa.

Jika disabitkan kesalahan, suspek berdepan hukuman penjara lima hingga 20 tahun, penjara seumur hidup atau hukuman mati.

Pihak berkuasa Thailand berjaya memberkas tiga lelaki warga Malaysia yang cuba menyeludup 87kg syabu di Stesen Kereta Api Hat Yai, Songkhla pada 31 Julai.

Dalam pada itu, di SONGKHLA, tiga lelaki warga Malaysia ditahan di Stesen Kereta Api Hat Yai pada 31 Julai selepas disyaki cuba menyeludup 87 kilogram syabu (methamphetamine) yang disembunyikan dalam tiga beg bagasi dan tiga beg galas.

Pengarah Pejabat Lembaga Kawalan Narkotik (ONCB) Wilayah 9, Ratchapon Palakul berkata, penahanan dilakukan oleh unit 'Tawan Hat Yai' dengan kerjasama Polis Kereta Api, Bahagian Pencegahan Jenayah (CSD), Bahagian Antipemerdagangan Manusia (ATPD), Polis Pelancong, Biro Pencegahan Narkotik (NSB) dan ONCB Wilayah 9.

Beliau berkata, ketiga-tiga suspek menaiki kereta api dari Bangkok ke Hat Yai sebelum ditahan sebaik tiba di stesen kereta api itu.

"Siasatan awal mendapati seorang daripada suspek mengaku mereka diupah oleh satu sindiket untuk menyeludup syabu atau 'ice' ke Malaysia, dengan setiap seorang dijanjikan upah sebanyak RM8,000," katanya ketika dihubungi di sini pada Selasa.

Ratchapon berkata, ketiga-tiga suspek didakwa atas pertuduhan bersama memiliki dan mengedar narkotik Kategori 1 bagi tujuan pengedaran yang boleh membawa hukuman penjara hingga 15 tahun dan denda tidak melebihi 1.5 juta baht (lebih kurang RM183,000), jika disabit.

Katanya, siasatan sedang dipergiat untuk mengenal pasti dalang dan individu subahat lain dalam sindiket pengedaran dadah rentas sempadan berkenaan.