MARAN – Ungkapan 'jom kita pergi berehat bos' yang dilontarkan secara berseloroh oleh arwah Mohd Radzi Rahimi kepada Ketua UMNO Bahagian Maran, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin selepas Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Maran pada 26 Julai lalu seakan menjadi petanda terakhir sebelum pemergiannya.
Shahaniza berkata, ketika pertemuan itu, Allahyarham yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Maran masih ceria seperti biasa dan tidak menunjukkan sebarang perubahan.
"Masa terakhir saya hendak balik, arwah hantar saya dan ketika itu dia sempat bergurau sambil berkata, jom kita pergi berehat boss'.
"Saya hanya ketawa dan apabila dia menyebut mengenai 'retreat', saya kata nanti saya akan turut serta.
"Saya ingatkan (kata-kata) arwah sekadar bergurau kerana tiada tanda perubahan sikapnya," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.
Pada Isnin, Mohd Radzi, 40, antara empat mangsa yang maut selepas kenderaan pacuan empat roda dinaiki mereka dihempap pokok tumbang di Jalan Lama Bentong, Bentong.
Turut maut, isterinya, Nuriani Mohammad Jafri, 36, seorang daripada anak kembar mereka yang berusia lima tahun, Muhammad Rizz Hazim dan adik ipar, Mohammad Nizam Mohammad Jafri, 35.
Seorang lagi anak kembar Mohd Radzi dilaporkan parah dan kini dirawat di Hospital Bentong.
Jenazah Allahyarham Mohd bersama tiga ahli keluarganya yang maut selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Sri Chedung, Maran pada jam 3.15 pagi.
Sebelum itu, semua jenazah dituntut waris antara jam 10 malam hingga 11.45 malam selepas selesai proses bedah siasat di Hospital Sultan Ahmad Shah (HOSHAH), Temerloh.
Jenazah kemudian dibawa ke Masjid Kampung Paya Luas, Temerloh untuk dimandikan dan dikafankan, sebelum disolatkan di Masjid Asy-Syakirin.
Shahaniza memberitahu berita pemergian arwah amat mengejutkan dan beliau turut merasai kehilangan besar susulan pemergian pemimpin muda berkenaan.
Menurutnya, arwah merupakan seorang pemimpin berdisiplin, disegani serta disenangi oleh semua lapisan masyarakat, khususnya golongan belia di Maran.
"Saya rasa macam patah kaki pun ada sebab arwah memang banyak menggerakkan program-program orang muda dekat Maran.
"Pengaruh dia di kalangan anak muda memang besar dan dia banyak menganjurkan program belia dan kalau saya suruh sahaja, terus buat tanpa beri alasan," jelasnya.
Shahaniza berkata, arwah juga seorang yang mudah melaksanakan tugasan diberikan tanpa memberikan alasan dan sentiasa bersedia membantu menjayakan program parti.
Katanya, antara tanggungjawab terakhir yang diberikan kepada arwah ialah sebagai Pengarah Program Liga Sepak Takraw Pahang First bagi Bahagian Maran yang dijadualkan berlangsung pada 15 Ogos ini.
"Arwahlah yang sepatutnya mengendalikan program itu untuk tiga-tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Luit, Chenor dan Kuala Sentul di bawah Parlimen Maran.
"Saya juga pernah beri dia tanggungjawab sebagai pengurus pasukan bola sepak perantau kerana dia memang pandai mengendalikan perkara seperti ini, terutama program orang muda," katanya.
Menjawab mengenai kebajikan anak arwah selepas ini, Shahaniza berkata pihaknya akan melihat perkara berkenaan dan memastikan keluarga serta anak-anak arwah tidak dipinggirkan.
"Kita akan tengoklah dan tidak akan tinggal, insya-ALLAH," jelasnya.