Bekas pengurus ladang direman bantu siasatan kes seleweng kontrak anak benih RM8 juta

Iklan
Suspek dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Putrajaya pada Selasa selepas permohonan reman dibuat.

PUTRAJAYA – Seorang bekas pengurus ladang direman selama tiga hari bagi membantu siasatan berhubung dakwaan penyelewengan kontrak pembekalan anak benih pokok getah bernilai kira-kira RM8 juta.

Perintah reman hingga Khamis terhadap lelaki berusia lingkungan 50-an itu dikeluarkan Majistret Ezrene Zakariah selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Putrajaya pada Selasa.

Iklan
Iklan

Menurut sumber, suspek ditahan kira-kira jam 7 malam pada Isnin ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM.

"Suspek disyaki menyalahgunakan projek pembekalan anak benih pokok getah melibatkan dua syarikat perladangan yang merupakan anak syarikat sebuah badan berkanun, dengan nilai kontrak dianggarkan kira-kira RM8 juta," katanya.

Iklan

Tahanan reman itu dibuat susulan siasatan pasukan khas yang ditubuhkan bagi menyemak dan meneliti hasil Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji yang didedahkan kepada umum menerusi portal rasmi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada penghujung Julai lalu.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman ketika dihubungi mengesahkan penahanan berkenaan.

Iklan

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.