Sultan Perak berkenan rasmi Dewan Merdeka, ilham konsep rumah kutai

Iklan
Sultan Nazrin berkenan menyempurnakan perasmian Dewan Merdeka Majlis Perbandaran Manjung pada Selasa. Foto Bernama

LUMUT - Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat menyempurnakan perasmian Dewan Merdeka Majlis Perbandaran Manjung di sini pada Selasa.

Keberangkatan baginda sekitar jam 11 pagi itu diiringi Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim serta Raja DiHilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah.

Iklan
Iklan

Turut hadir, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Dalam majlis tersebut, baginda berkenan menyempurnakan lafaz dan gimik perasmian sebelum menandatangani plak sebagai simbolik pembukaan rasmi dewan berkenaan.

Iklan

Sultan Nazrin turut meluangkan masa melawat ruang pameran yang disediakan selain berangkat ke majlis santapan bersama tetamu kenamaan.

Dewan Merdeka menerima pembangunan semula pada 2016 dengan konsep 'Warisan dalam Kemodenan' menggabungkan elemen seni bina tradisional Melayu dengan keperluan sebuah pusat konvensyen moden.

Iklan

Reka bentuknya menampilkan ciri rumah kutai melalui bentuk bumbung, warna dan elemen hiasan, sekali gus mengekalkan identiti warisan dalam pembangunan kontemporari.

Dewan berkapasiti 2,500 orang itu dibangunkan dengan kos RM12.7 juta dan dilengkapi kemudahan moden dari segi fungsi, kapasiti serta keselesaan bagi memenuhi keperluan pelbagai program rasmi dan kemasyarakatan.

Selain berperanan sebagai ruang serbaguna, dewan tersebut menjadi mercu tanda ikonik yang mencerminkan identiti Majlis Perbandaran Manjung (MPM) sebagai pihak berkuasa tempatan yang progresif.

Dalam sembah ucapan, Saarani berkata, projek tersebut bermula hasil pengumuman peruntukan Kerajaan Persekutuan ketika lawatan kerja Perdana Menteri keenam, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak pada tahun 2016.

Katanya, usaha merealisasikan pembinaan semula dewan itu turut diperjuangkan oleh Zambry ketika menjawat jawatan Menteri Besar Perak sebelum ini sehingga membawa kepada kelulusan.

"Kejayaan menyiapkan projek ini membuktikan kesinambungan pentadbiran serta kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.

Dalam pada itu, Saarani berkata, daerah Manjung kini dihuni kira-kira 255,200 penduduk dan muncul sebagai antara pemacu utama ekonomi negeri.

Katanya, kekuatan sektor perindustrian, maritim, pelancongan serta perkhidmatan menjadikan Manjung sebuah daerah yang strategik dan berdaya saing selaras dengan pelan Perak Sejahtera 2030.

"Potensi itu akan terus diperkukuh melalui pembangunan projek seperti Bandar Perindustrian Maritim Lumut (LuMIC),Taman Perindustrian Halal Perak (Perak HIP) dan Terminal Regasifikasi Ketiga di Lumut," katanya.