PUTRAJAYA – Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Radzi Jidin menggesa audit forensik dilaksanakan terhadap pelaburan berjumlah RM259 juta Lembaga Tabung Haji (TH) dalam Deru Semangat Sdn Bhd (Deru Semangat) susulan pelbagai persoalan yang dibangkitkan dalam Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai institusi itu.
Menurut beliau, laporan RCI menyatakan Suruhanjaya menerima laporan daripada TH berhubung beberapa pelaburan bermasalah serta mendapati wujud transaksi yang mencurigakan dan penyembunyian maklumat.
Katanya, laporan itu turut menyenaraikan beberapa pelaburan yang memerlukan audit forensik, termasuk pelaburan TH dalam Deru Semangat,
"Banyak persoalan berkaitan pelaburan ini. Oleh itu, saya amat bersetuju agar audit forensik dibuat ke atas transaksi ini," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Radzi yang juga Naib Presiden Bersatu berkata, berdasarkan laporan RCI, pada 2014 dan 2015 Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) ketika itu meluluskan pelaburan berjumlah RM526.16 juta bagi usaha sama membangunkan ladang sawit di Pahang.
Menurut beliau, daripada jumlah itu, RM231 juta diperuntukkan bagi pembelian 55 peratus pegangan saham dalam Deru Semangat Sdn Bhd, manakala RM295.16 juta lagi bagi pembangunan ladang.
Pada 30 Julai lalu, kerajaan mengumumkan penyahklasifikasian Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai pengurusan dan operasi TH bagi tempoh 2014 hingga 2020 selepas mendapat persetujuan Jemaah Menteri.
Laporan itu antara lain mengenal pasti beberapa pelaburan bermasalah yang disyorkan menjalani audit forensik, selain mengandungi 25 syor penambahbaikan bagi memperkukuh tadbir urus TH.
Kerajaan turut memutuskan siasatan oleh badan-badan penguat kuasa diteruskan serta-merta terhadap mana-mana pihak yang dikenal pasti melakukan pelanggaran undang-undang berdasarkan dapatan laporan tersebut.
Mengulas lanjut, Dr Radzi berkata, sehingga Januari 2021, TH telah membayar kira-kira RM257 juta bagi pembelian pegangan saham serta pembangunan ladang berkenaan.
Bagaimanapun, katanya, projek itu berdepan masalah apabila pembangunan ladang turut melibatkan aktiviti pembalakan di kawasan hutan simpan sehingga nilai pelaburan yang asalnya RM257 juta dirosot nilai kepada hanya RM32 juta.
Beliau berkata, pegangan saham TH dalam Deru Semangat akhirnya dipulangkan semula kepada pemilik asal, sekali gus menyebabkan institusi itu tidak lagi mempunyai sebarang pegangan dalam syarikat tersebut.
Katanya, sebagai balasan, TH tidak lagi perlu mengeluarkan baki pelaburan lanjutan sebanyak RM258 juta.
"Dinyatakan pada muka surat 143 bahawa untuk transaksi melibatkan usaha sama ini, pembayaran keseluruhan berjumlah RM259 juta telah disalurkan oleh Tabung Haji.
"Soalan saya kepada pihak berkaitan, apa manfaat yang diperoleh Tabung Haji dan pendeposit melalui pelaburan berjumlah RM259 juta ini?
"Saham dalam syarikat Deru Semangat sudah tidak ada kerana telah dipulang balik kepada pemilik asal. Jadi, labur RM259 juta untuk apa?" soal beliau.
Menurutnya, jumlah RM259 juta itu bukan kecil kerana ia lebih besar daripada bantuan kewangan haji yang dikeluarkan TH bagi tahun 2026 berjumlah RM210 juta.
Sehubungan itu, Dr Radzi turut mempersoalkan sama ada keputusan melabur dalam projek berkenaan pada 2014 dan 2015 dibuat mengikut proses yang sewajarnya, termasuk sama ada penelitian wajar (due diligence) telah dilaksanakan serta status tanah terbabit disemak terlebih dahulu sama ada melibatkan kawasan hutan simpan.
"Apakah keputusan untuk melabur pada 2014 dan 2015 telah dibuat melalui satu proses yang sepatutnya? Apakah due diligence telah dibuat? Jika ya, apakah telah disemak kedudukan tanah tersebut sama ada melibatkan hutan simpan atau tidak?
"Banyak persoalan berkaitan pelaburan ini. Oleh itu, saya amat bersetuju agar audit forensik dibuat ke atas transaksi ini," katanya.