GEORGE TOWN – Tindakan dua lelaki dan seorang wanita menceroboh Kawasan Larangan Tempat Larangan (KLTL) di struktur Jambatan Pulau Pinang mengundang padah apabila mereka ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Pulau Pinang dalam satu operasi penguatkuasaan pada Isnin.
Pengarah Maritim Malaysia Pulau Pinang, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, ketiga-tiga warga tempatan itu ditahan kira-kira jam 1.30 tengah hari ketika bot ronda agensi berkenaan melaksanakan rondaan rutin di sekitar perairan Pulau Pinang.
Menurutnya, pemeriksaan di kawasan kaki tiang Jambatan Pulau Pinang mendapati kesemua suspek berada di kawasan yang telah diwartakan sebagai KLTL tanpa kebenaran.
“Mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 447 Kanun Keseksaan kerana menceroboh Kawasan Larangan Tempat Larangan (KLTL).
“Kesemua suspek ditahan sebelum diiring ke Jeti Pasukan Polis Marin Batu Uban untuk diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Ibupejabat Maritim Pulau Pinang bagi tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Beliau menambah, tindakan penguatkuasaan itu bukan sahaja bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang malah bertujuan meningkatkan kesedaran komuniti maritim dan orang awam mengenai kepentingan mematuhi kawasan larangan yang telah diwartakan.
Katanya, kawasan di bawah Jambatan Pulau Pinang dan Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah merupakan KLTL yang meliputi zon penampan sejauh 250 meter di sebelah kiri dan kanan jambatan.
"Sehubungan itu, Maritim Pulau Pinang menasihatkan orang ramai supaya tidak memasuki kawasan larangan tanpa kebenaran bagi mengelakkan tindakan undang-undang di samping memastikan keselamatan awam serta pemeliharaan infrastruktur kritikal negara.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai aktiviti mencurigakan atau insiden kecemasan di laut diminta menghubungi Pusat Operasi Ibupejabat Maritim Malaysia Pulau Pinang atau talian kecemasan 999 untuk tindakan segera," katanya.
Terdahulu, Maritim Pulau Pinang bersama Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia (CGSO) Pulau Pinang, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) Wilayah Utara, Jambatan Kedua Sdn Bhd (JKSB), Projek Lebuhraya Utara-Selatan Berhad (PLUS) telah melaksanakan Ops Khas Bersepadu di bawah Jambatan Pulau Pinang dan Jambatan Kedua Pulau Pinang.
Operasi khas itu bagi memastikan kawasan di bawah kedua-dua jambatan yang sebelum ini sering menjadi tumpuan aktiviti memancing bebas daripada sebarang aktiviti memancing dan pencerobohan.
Selain itu, Jawatankuasa Sasaran Penting Negeri bersama CGSO Pulau Pinang, LLM Wilayah Utara, JKSB, PLUS dan agensi keselamatan berkaitan sedang merangka prosedur operasi standard bagi mengawal selia sebarang aktiviti yang dijalankan berhampiran kedua-dua jambatan.