BATU PAHAT – Polis menahan tiga lelaki warga tempatan bagi membantu siasatan kes penemuan mayat seorang lelaki yang dibungkus dan dililit dengan jaring di Sungai Tanjung Sembrong, Parit Raja, di sini pada Isnin.
Timbalan Ketua Polis Johor, Deputi Komisioner Polis, Hoo Chuan Huat berkata, maklumat daripada orang awam mengenai penemuan mayat berkenaan diterima pada kira-kira jam 12.30 tengah hari.
Menurutnya, hasil siasatan mendapati tangan dan kaki mangsa diikat dengan pita pelekat selain terdapat beberapa kesan kecederaan luka di bahagian pinggang dan lengan selain mayat mangsa turut dibungkus serta dililit dengan jaring.
"Polis kemudiannya membuat semakan lanjut dan mendapati jam 10.09 malam, 29 Julai lalu, terdapat satu laporan polis dibuat oleh seorang perempuan warga tempatan mengenai kehilangan suaminya di Mutiara Rini, Iskandar Puteri, Johor.
"Kes diklasifikasikan sebagai kertas enkuiri pengurusan (orang hilang)," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Beliau menambah, berdasarkan pengecaman awal yang dibuat, mayat mangsa dikenal pasti oleh waris terdekat sebagai individu yang dilaporkan hilang berdasarkan pakaian dan barangan milik mangsa yang ditemui bersama mayat.
Katanya, bertindak atas maklumat, sepasukan polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah IPK Johor dan Bahagian Siasatan Jenayah IPD Batu Pahat menahan tiga lelaki warga tempatan berusia antara 26 hingga 40 tahun di sekitar kawasan Batu Pahat.
"Semakan rekod jenayah lampau ke atas ketiga-tiga suspek mendapati dua daripada suspek mempunyai rekod berkaitan jenayah dan dadah.
"Turut dirampas adalah lima buah telefon bimbit milik suspek-suspek," katanya.
Chuan Huat berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana bunuh.
"Permohonan perintah tahanan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah ke atas semua suspek dibenarkan selama tujuh hari sehingga hingga 10 Ogos," katanya.
Beliau berkata, motif kejadian masih dalam siasatan pihak polis namun tidak menolak kemungkinan pembunuhan berpunca daripada hutang.
"Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak sahih berkaitan kes ini yang boleh mengganggu siasatan pihak polis," katanya.
Terdahulu, tular video di media sosial mengenai penemuan mayat oleh penduduk yang pada mulanya menyangka haiwan ternakan sebelum menghubungi polis untuk tindakan lanjut.