KUALA LUMPUR – Pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan di Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin bahawa, dakwaan bahawa siasatan terhadap bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, dijalankan secara berat sebelah.
Penguasa Kanan Bahagian Siasatan Cawangan Ibu Pejabat SPRM, Zulhilmi Ramli juga tidak bersetuju dengan cadangan pembelaan kepada bekas Pengerusi DAP itu bahawa pendakwaan dibuat bagi mengenakan ahli politik itu dalam perbicaraan kes projek terowong dasar laut Pulau Pinang.
Semasa prosiding, peguam, Mohd Haijan Omar yang mewakili Ahli Parlimen Bagan berusia 66 tahun itu mencadangkan, siasatan berhubung isu berkenaan bersifat berat sebelah dan berniat mengenakan anak guamnya.
Sebelum itu, peguam berkenaan turut mempersoalkan kegagalan pihak penyiasat mengesahkan sama ada terdapat tuntutan berkaitan reka bentuk awal bagi projek terowong dasar laut.
Bagaimanapun Zulhilmi, 34, berkata, berdasarkan ingatannya, reka bentuk awal itu belum dikemukakan kepada kerajaan negeri kerana ia masih di peringkat awal dan baru disediakan oleh syarikat Consortium Zenith Beijing Urban Construction Group (CZBUCG).
“Tidak pasti,” kata saksi pendakwaan ke-38 itu, ketika ditanya sama ada ketiadaan dokumen berkenaan memberi makna bahawa tiada tuntutan dibuat.
Beliau juga menafikan dakwaan bahawa, tiada siasatan dijalankan bagi memastikan sama ada tuntutan berkaitan reka bentuk awal projek terowong telah dibuat.
Ia termasuk saranan peguam bahawa, Zulhilmi hanya bergantung kepada keterangan saksi pendakwaan, Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli tanpa mengesahkan kesahihan dakwaan bahawa reka bentuk awal projek itu telah siap.
Zulhilmi berkata demikian ketika prosiding perbicaraan terhadap Guan Eng yang berdepan dua pertuduhan meminta dan menerima suapan serta dua lagi pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik Kerajaan Negeri Pulau Pinang dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut bernilai RM6.34 bilion.
Sementara itu, seorang lagi peguam, RSN Rayer yang mewakili Guan Eng mencadangkan bahawa, pegawai penyiasat terbabit memberi keterangan berat sebelah.
Menurutnya, perkara yang menguatkan pembelaan Guan Eng, telah menjelaskan bahawa anak guamnya tidak bersalah dan tidak melakukan kesalahan seperti yang dipertuduhkan.
Peguam: Bagaimanapun, semua jawapan, anda kata tidak ingat sedangkan ini hari ke tuan hadir ke mahkamah untuk memberi keterangan.
Zulhilmi: Boleh saya tahu apa soalan tuan?
Peguam: Setuju atau tidak, dengan semua perkara yang saya cakap tadi?
Zulhilmi: Setuju mengenai perkara apa?
Peguam: Setuju atau tidak bahawa, anda langsung tidak tahu penjelasan yang diberikan oleh Guan Eng dalam pernyataannya, malah semua anda tak ingat.
Sedangkan peguam ini berkata, semua perkara itu telah disoal siasat berserta penjelasan.
Saksi itu kemudiannya berkata tidak setuju dengan cadangan peguam tersebut.
Pada 14 Mei lalu, Zulhilmi memberitahu, siasatan awal menunjukkan tiada keterangan mencukupi untuk mendakwa Guan Eng dalam kes rasuah projek tersebut.
Zulhilmi ketika diperiksa balas oleh Haijan berkata, beliau mengetahui perkara itu pada permulaan Januari 2020 ketika menganggotai pasukan petugas khas siasatan skandal berkenaan.
Ketika itu katanya, terdapat beberapa kertas siasatan dibuka berkaitan kes terowong dan jalan utama di Pulau Pinang yang disiasat oleh empat pegawai penyiasat.
Beliau berkata, telah dilantik untuk menganggotai pasukan siasatan kes Guan Eng yang ketika itu Ketua Menteri Pulau Pinang pada sekitar Jun 2020.
Mengikut pertuduhan pindaan pertama, Guan Eng didakwa ketika menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM3.3 juta.
Suapan itu didakwa sebagai balasan membantu syarikat milik Zarul dilantik melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang bernilai RM6,341,383,702.
Kesalahan itu didakwa dilakukan antara Januari 2011 hingga Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang.
Bagi pertuduhan pindaan kedua, dia didakwa meminta suapan sebanyak 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh Zarul sebagai upah bagi membantu mendapatkan projek sama.
Kesalahan itu didakwa dilakukan berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City antara jam 12.30 tengah malam hingga 2 pagi pada Mac 2011.
Selain itu, Guan Eng turut berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik Kerajaan Negeri Pulau Pinang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek sama di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Komtar pada 17 Februari 2015 dan 22 Mac 2017.
Perbicaraan di hadapan Hakim, Azura Alwi bersambung pada Jumaat ini.