KUANTAN - Empat individu termasuk seorang kanak-kanak maut selepas kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki mereka dihempap sebatang pokok tumbang dalam kejadian di Jalan Bentong Lama menghala ke pintu gerbang Janda Baik, Bentong pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintenden Zaiham Mohd Kahar berkata, mangsa yang maut terdiri daripada pemandu kenderaan jenis Ford Raptor berusia 35 tahun, wanita berusia 36 tahun bersama kanak-kanak lelaki 5 tahun yang dipangku.
Menurutnya, seorang lelaki berusia 40 tahun yang berada di bahagian penumpang belakang turut maut.
"Dalam kejadian yang dilaporkan kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, seorang kanak-kanak lelaki berusia 5 tahun (dipercayai pasangan kembar kanak-kanak yang maut) cedera dan dihantar ke Hospital Bentong untuk rawatan lanjut.
"Semua mangsa yang maut dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) Temerloh untuk proses bedah siasat," katanya.
Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Salahuddin Isa berkata, sepasukan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bentong ke lokasi yang berada 48 kilometer dari balai untuk bantuan menyelamat.
"Kerja-kerja operasi mengeluarkan mangsa yang tersepit peringkat awal dilakukan anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Janda Baik sebelum pasukan operasi BBP Bentong tiba," katanya.
Mohd Salahuddin berkata, anggota yang tiba di lokasi mendapati sebuah kenderaan jenis Ford Ranger dihempap pokok dengan lima mangsa terdiri daripada dua lelaki, seorang wanita dan dua kanak-kanak terlibat.
"Pasukan bomba bertindak mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan peralatan khas.
"Mangsa yang maut diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya," katanya.