SHAH ALAM - Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Lau Weng San belum mengesahkan kemungkinan berlaku kekosongan mana-mana kerusi DUN negeri itu, sebaliknya masih meneliti semua maklumat berkaitan.
Beliau berkata, semakan sedang dibuat secara menyeluruh membabitkan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) tanpa mengira parti sebelum sebarang keputusan dibuat.
"Saya perlu semak semua dari mana-mana parti pun. Semua kawasan saya semak kerana kita tidak mahu terlepas apa-apa kemungkinan," katanya ketika ditemui di lobi sidang DUN Selangor pada Isnin.
Terdahulu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari memaklumkan, keputusan sama ada Pilihan Raya Kecil (PRK) perlu diadakan bagi satu kerusi DUN Selangor bergantung kepada keputusan Speaker DUN sebelum ditentukan oleh SPR.
Pada Jumaat lalu, Amirudin memaklumkan, Speaker DUN Selangor dijangka membuat pengesahan berhubung dakwaan membabitkan status seorang ADUN pada Isnin.
Amirudin menjelaskan, perkara itu kini sedang diteliti bersama penasihat undang-undang negeri bagi menentukan tindakan yang perlu diambil sebelum sebarang keputusan dibuat.
Sebelum ini, timbul dakwaan Selangor mungkin berdepan PRK susulan isu hilang kelayakan membabitkan status seorang ADUN yang didakwa boleh menyebabkan kekosongan kerusi.
Ditanya sama ada sudah mengenal pasti DUN yang mungkin terlibat, Weng San berkata, perkara itu masih dalam proses semakan dan beliau belum bersedia untuk mendedahkannya.
"Saya akan beritahu selepas saya dapat maklumat nanti kerana ia mengambil masa kerana kita perlu semak betul-betul," katanya.
Mengulas sama ada perkara itu sudah dirujuk kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Weng San berkata, pihaknya belum menghantar sebarang maklumat rasmi kepada badan berkenaan.
"Saya tidak hantar apa-apa lagi. Kalau saya hantar, itu bermaksud ada keputusan tertentu dan perkara itu terpulang kepada SPR untuk memutuskan," katanya.
Beliau berkata, pihaknya akan meneliti peruntukan dalam Perlembagaan serta Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor sebelum membuat sebarang pengesahan.
Ditanya adakah ADUN terlibat hadir pada Sidang DUN Selangor pada Isnin, Weng San menjelaskan, pihaknya tidak boleh membuat sebarang andaian berdasarkan ketidakhadiran ADUN pada persidangan kali ini kerana perlu mendapatkan pengesahan terlebih dahulu.
"Kita tidak boleh membuat apa-apa andaian sehingga semua urusan selesai, kita akan buat pengesahan," katanya.
Weng San berkata, ketidakhadiran seseorang ADUN ke persidangan DUN tidak boleh terus dianggap mempunyai masalah atau menyebabkan kerusi itu kosong.
Katanya, berdasarkan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor, kerusi ADUN hanya perlu dikosongkan sekiranya seseorang wakil rakyat tidak menghadiri persidangan mesyuarat selama enam bulan berturut-turut tanpa sebarang maklumat rasmi.
"Kalau seseorang ADUN tidak hadir selama enam bulan berturut-turut tanpa maklumat rasmi, maka kerusi itu akan dikosongkan.
"Namun, sebelum ini pun ada ADUN yang tidak hadir kerana sebab tertentu seperti cuti sakit dan mereka menghantar surat rasmi," tambah beliau.