Kru kabin mogok, perjalanan 250,000 penumpang terjejas

Iklan
Kru kabin terbabit merupakan ahli Kesatuan Pekerja Awam Kanada.

TRENTON -  Lebih 4,000 kru kabin WestJet, syarikat penerbangan kedua terbesar di Kanada melancarkan mogok pada Ahad, menyebabkan kira-kira 600 penerbangan harian dibatalkan dan menjejaskan rancangan perjalanan kira-kira 250,000 penumpang, lapor Anadolu Ajansi.

Isnin merupakan cuti umum di Kanada, sekali gus menjadikan hujung minggu itu antara tempoh perjalanan paling sibuk sepanjang tahun. Mogok itu dijangka menyebabkan WestJet menanggung kerugian berjuta-juta dolar.

Iklan
Iklan

Isu gaji menjadi punca utama pertikaian berkenaan. Kru kabin menuntut bayaran bagi kerja yang dilakukan di darat sebelum dan selepas penerbangan.

Delta Air Lines menjadi syarikat penerbangan pertama yang memperkenalkan bayaran bagi kerja di darat pada 2022. Air Canada menyusul pada Februari menerusi kontrak baharu.

Iklan

Menteri Pekerjaan Persekutuan Patty Hajdu menerusi hantaran di media sosial berkata beliau kecewa kerana kedua-dua pihak gagal mencapai persetujuan selepas berusaha merundingkan kontrak baharu.

Kru kabin terbabit merupakan ahli Kesatuan Pekerja Awam Kanada. Dalam satu kenyataan, wakil kesatuan Alia Hussain menyalahkan WestJet atas mogok itu.

Iklan

"Situasi ini tidak akan berlaku sekiranya syarikat penerbangan itu mengambil serius kebimbangan kami sepanjang hampir 11 bulan rundingan," kata Hussain.

WestJet memaklumkan penumpang yang terjejas akan menerima bayaran balik.

"Kami kecewa kerana situasi ini memberi kesan secara langsung kepada rancangan perjalanan penumpang, warga kerja WestJet serta komuniti dan perniagaan yang kami berikan perkhidmatan," kata Ketua Pegawai Eksekutif Alexis von Hoensbroech kepada The Canadian Press.

Kru kabin ketika ini menerima bayaran antara C$28.88 dan C$53.61 bagi setiap jam kredit penerbangan.

Di bawah perjanjian baharu Air Canada, kru kabin dibayar sehingga 70 peratus daripada kadar gaji sejam biasa mereka bagi tugas yang dilaksanakan dalam tempoh sejam sebelum pesawat berlepas. - Bernama