Selangor mahu fokus pentadbiran, bukan politik semata-mata - Amirudin

Iklan
Amirudin

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor mahu memberi tumpuan kepada pelaksanaan agenda pentadbiran dan kebajikan rakyat berbanding terus terperangkap dengan naratif politik atau tumpuan kepada pilihan raya semata-mata

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kerajaan negeri masih mempunyai sekurang-kurangnya setahun dan maksimum dua tahun untuk melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan rakyat.

Iklan
Iklan

Menurutnya, tumpuan ketika ini sepatutnya diberikan kepada pelaksanaan dasar serta penyampaian perkhidmatan, bukannya terus dibelenggu dengan polemik politik.

"Dinamika politik boleh berubah dan kerajaan negeri masih mempunyai sekurang-kurangnya setahun hingga dua tahun untuk melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat sebelum berdepan pilihan raya akan datang," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perhimpunan Penjawat Awam dan Kempen Kibar Jalur Gemilang di Auditorium Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Abdul Aziz di sini pada Isnin.

Mengulas kemungkinan landskap politik pada pilihan raya akan datang mengenai pertembungan satu lawan satu, Amirudin berkata, pertandingan tidak semestinya pertembungan dua penjuru kerana pelbagai kemungkinan boleh berlaku.

Iklan

"Mungkin jadi (pertandingan) tiga atau empat penjuru dan dinamika politik boleh berubah, jadi kita lihat keadaan dan situasinya," ujar beliau.

Dalam pada itu, Amirudin memberitahu, parti politik yang memainkan sentimen perkauman dan menakut-nakutkan rakyat terhadap kaum lain tidak membawa manfaat kepada negara

Beliau berkata, kempen sedemikian bukan sahaja memecah-belahkan masyarakat, malah menyebabkan setiap kaum mula membina benteng masing-masing sehingga menjejaskan keharmonian yang sekian lama menjadi asas pembinaan negara.

"Malaysia perlu terus mengekalkan pendekatan sederhana bagi memastikan kerangka perpaduan yang dibina sejak merdeka kekal utuh meskipun berlaku pertukaran kerajaan atau kepimpinan.

"Memang itu kempennya, takutkan orang tentang Cina dan takutkan kaum lain. Natijahnya bukan sekadar memenangkan satu kaum tertentu, tetapi semua kaum mula buat benteng masing-masing.

"Kita kena meletakkan diri di garis sederhana untuk mengekalkan suasana dan kerangka yang kita bina sejak merdeka hingga sekarang," katanya.

Amirudin berkata, beliau berharap politik berasaskan sentimen kaum tidak terus diperkukuhkan pada masa depan kerana perkara itu hanya akan menjejaskan identiti Malaysia sebagai sebuah negara majmuk.

"Soalnya bukan sekadar nak menang pilihan raya, tetapi bingkai Malaysia yang ingin dilahirkan," katanya.